Hubungan KPT - AIT Diperkasa, Teroka Peluang Perluas Pendidikan Pascasiswazah dan Kerjasama Akademik

Hubungan KPT - AIT Diperkasa, Teroka Peluang Perluas Pendidikan Pascasiswazah dan Kerjasama Akademik

4 September 2026 I Putrajaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, telah menerima kunjungan hormat daripada Vice President for Administration and Development, Asian Institute of Technology (AIT), Prof. Siddharth Jabade hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, AIT berkongsi mengenai penawaran program pascasiswazah serta kepakaran akademik dan penyelidikannya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, alam sekitar dan kelestarian, pengurusan serta dasar awam. Perbincangan turut merangkumi bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi dan inovasi, perubahan iklim serta pembangunan kapasiti.

AIT turut berkongsi mengenai hubungan yang telah lama terjalin dengan Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan. Berlandaskan hubungan tersebut, AIT menyatakan hasrat untuk memperluas peluang pengajian, penyelidikan dan pembangunan akademik kepada rakyat Malaysia, termasuk pelajar, pensyarah, tenaga pengajar serta penjawat awam, di samping memperkukuh jalinan kerjasama dengan institusi dan agensi berkaitan di Malaysia.

Dalam sesi yang sama, KPT berkongsi mengenai ASEAN GEMS (Global Exchange for Mobility and Scholarship), sebuah platform yang menghimpunkan maklumat berkaitan peluang biasiswa dan mobiliti akademik dalam kalangan negara ASEAN. Inisiatif ini dapat memperluas akses kepada peluang pendidikan serantau serta memudahkan pelajar meneroka peluang biasiswa dan mobiliti yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di negara-negara anggota ASEAN.

Pertemuan ini membuka ruang kepada KPT dan AIT untuk meneroka potensi kerjasama jangka panjang, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan pascasiswazah, penyelidikan, mobiliti akademik serta pembangunan modal insan.

Hadir sama dalam sesi ini adalah Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah binti Omar; Setiausaha Bahagian, Bahagian Biasiswa, Puan Marhanum binti M. Haniff; Pengarah Bahagian Standard Swasta, Jabatan Pendidikan Tinggi, Encik Husaini Amir bin Azizan; Ketua Pegawai Pemasaran, Education Malaysia Global Services (EMGS), Encik Shahrill bin Sabaruddin; dan wakil Bahagian Asia Tenggara, Kementerian Luar Negeri Encik Mohamed Ariff bin Mohamed Ali.

  • Last updated on .
  • Hits: 87
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim