SUKIPT 2026 Cipta Legasi Juara: UPM Johan Keseluruhan, Catat 45 Rekod Kejohanan, Pecah 2 Rekod Kebangsaan

SUKIPT 2026 Cipta Legasi Juara: UPM Johan Keseluruhan, Catat 45 Rekod Kejohanan, Pecah 2 Rekod Kebangsaan

6 September 2026 | Kuala Lumpur

Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan catatan membanggakan apabila 45 rekod kejohanan berjaya dipecahkan, termasuk dua (2) Rekod Kebangsaan, sekali gus mengangkat tema “Mencipta Legasi Juara” sebagai aspirasi untuk melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan malah mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara, perpaduan masyarakat dan kecemerlangan pendidikan tinggi.

Majlis Penutup SUKIPT 2026 berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim, selepas temasya edisi ketujuh itu berlangsung sejak 28 Ogos lalu.

SUKIPT yang dianjurkan sejak 2012 merupakan antara temasya sukan terbesar di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan terus menjadi acara yang dinanti-nantikan warga kampus, selain berupaya menggerakkan aktiviti sukan masyarakat kampus secara menyeluruh.

Tema “Mencipta Legasi Juara” bagi edisi kali ini mencerminkan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan SUKIPT sebagai temasya yang bukan sahaja melahirkan mahasiswa cemerlang dalam sukan, malah berupaya meninggalkan impak besar kepada pembangunan sukan negara, perpaduan masyarakat dan kecemerlangan pendidikan tinggi, berbanding penekanan “Minda Juara” dalam beberapa edisi terdahulu.

SUKIPT 2026 menghimpunkan 64 kontinjen dan 8,244 atlet yang bertanding dalam 30 jenis sukan di tujuh (7) lokasi sekitar Kuala Lumpur, iaitu UM selaku tuan rumah, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan TAR UMT, dengan 227 pingat emas, 227 pingat perak dan 271 pingat gangsa dipertandingkan.

Sebanyak 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan sepanjang temasya itu, merangkumi 13 rekod dalam olahraga, 18 dalam renang serta 15 dalam memanah, termasuk lapan (😎 rekod bagi acara compound dan tujuh (7) bagi acara recurve.

Daripada jumlah itu, dua (2) pencapaian turut mencatat Rekod Kebangsaan, masing-masing dalam acara Kayak TK1 200 Meter Wanita dan Menembak 10 Meter Air Rifle Lelaki, sekali gus memperlihatkan kemampuan SUKIPT menjadi medan penting untuk atlet IPT memperagakan prestasi terbaik serta diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan SUKIPT 2026 selepas mengumpul 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa, diikuti UiTM di tempat kedua dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala UM menduduki tempat ketiga dengan 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.

UPM turut mencatat kecemerlangan dalam olahraga apabila meraih 19 pingat emas daripada 37 emas keseluruhan yang dipertandingkan, selain mengungguli kategori lelaki dan wanita dalam acara Ragbi 7, manakala atlet renang kebangsaan yang mewakili UCSI, Khiew Hoe Yean, meraih 11 pingat emas, termasuk lapan (😎 individu dan tiga (3) berpasukan.

Darren James Nair a/l Rodney James dari HELP University dinobatkan sebagai Olahragawan SUKIPT 2026 selepas meraih tiga (3) pingat emas serta memecahkan tiga (3) rekod kejohanan dalam acara 10,000 Meter, 5,000 Meter dan 3,000 Meter Lari Berhalangan, manakala Syahida Asyiqin binti Rusli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dinobatkan sebagai Olahragawati selepas memecahkan Rekod Kebangsaan acara Kayak TK1 200 Meter Wanita dengan catatan 56.30 saat berbanding rekod terdahulu 57.29 saat.

Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki menjadi milik pasukan Bola Sepak UM selepas menewaskan juara bertahan UiTM 1-0 pada aksi final, manakala Anugerah Pasukan Terbaik Wanita diberikan kepada pasukan Bola Tampar UPM yang mempertahankan gelaran juara buat kali keempat berturut-turut.

Sebagai penghargaan terhadap pencapaian di peringkat kebangsaan, insentif tunai RM20,000 yang diperkenalkan sejak edisi 2022 turut disampaikan kepada Syahida Asyiqin Rusli bagi acara Kayak TK1 200 Meter Wanita serta pasukan Menembak 10 Meter Air Rifle Lelaki UPNM yang dianggotai Muhammad Azman Mohd Ridzuan, Muhammad Iman Syahmi Mohd Azidi dan Mustaqim Hanif, yang mencatat Rekod Kebangsaan baharu dengan 1,848.4 mata berbanding rekod terdahulu 1,845.9 mata.

Penganjuran SUKIPT 2026 turut diperhebatkan dengan aktiviti sampingan termasuk sambutan Kemerdekaan ke-69, Karnival Keusahawanan Industri Sukan dan sesi perkongsian kecemerlangan bersama legenda sukan negara, sekali gus memberi ruang kepada lebih ramai penggiat sukan serta masyarakat kampus untuk terlibat dengan penganjuran temasya berkenaan.

Kecemerlangan yang ditampilkan atlet sepanjang SUKIPT 2026 membuktikan temasya itu kekal relevan sebagai salah satu medan utama untuk mengenal pasti dan membangunkan atlet IPT berpotensi, justeru usaha tersebut perlu diteruskan dengan perancangan teliti supaya setiap atlet yang lahir menerusi SUKIPT mendapat pendedahan dan peluang sewajarnya untuk melangkah ke peringkat tertinggi.

Kejayaan SUKIPT 2026 yang menyaksikan 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan, termasuk dua (2) Rekod Kebangsaan, selain pencapaian cemerlang atlet serta penglibatan masyarakat, menjadi landasan penting untuk KPT meneruskan usaha melahirkan lebih ramai atlet IPT berpotensi tinggi, selaras dengan aspirasi “Mencipta Legasi Juara” demi pembangunan sukan dan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa serta Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, Prof. Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh.

  • Last updated on .
  • Hits: 111
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim