27 Pelajar Terbaik STPM 2025 Terima Tajaan Yuran Pengajian di 18 UA

27 Pelajar Terbaik STPM 2025 Terima Tajaan Yuran Pengajian di 18 UA

7 September 2026 | Putrajaya

Seramai 27 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada 18 universiti awam (UA) menerima tajaan dalam bentuk yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi memastikan kecemerlangan akademik diteruskan ke peringkat pendidikan tinggi serta membuka ruang kepada bakat muda negara membina masa depan yang lebih baik.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata tajaan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan STPM 2025, selain menyokong potensi mereka untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.

“Kita mahu memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 di sini siang tadi.

Beliau berkata tajaan itu turut membuka peluang kepada pelajar cemerlang daripada pelbagai latar belakang untuk meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan menjadi penghalang, sekali gus menjadikan pendidikan tinggi antara saluran penting mobiliti sosial.

Majlis itu menyaksikan Universiti Malaya (UM) menaja enam (6) pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat (4) pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing dua (2) pelajar, manakala 14 UA lain masing-masing menaja seorang (1) pelajar.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata tajaan berkenaan meliputi pelbagai bidang pengajian termasuk bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan pendidikan yang penting dalam memenuhi keperluan pembangunan bakat negara.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya memanfaatkan kehidupan di universiti untuk membina ilmu, kemahiran, kepimpinan dan pengalaman, selain menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Gunakan peluang yang saudara dan saudari terima hari ini untuk mengubah masa depan, dan apabila berjaya kelak, bukalah pula jalan untuk orang lain,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Indera Dato' Indera Ikmalrudin Ishak; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi MPM yang juga Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff serta Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.

  • Last updated on .
  • Hits: 70
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim