TEMU Anwar @ MMU: Perdana Menteri Tekankan Nilai Dan Tata Kelola Pandu Pembangunan AI

TEMU Anwar @ MMU: Perdana Menteri Tekankan Nilai Dan Tata Kelola Pandu Pembangunan AI

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) mestilah dipandu nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan tata kelola yang baik agar manfaat pertumbuhan digital dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Beliau menyampaikan amanat tersebut dalam Program TEMU ANWAR @ MMU yang berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya petang tadi.

YAB Dato' Seri Anwar menekankan konsep “menggapai di langit, mengakar di bumi” yang bermaksud penguasaan teknologi baharu sama sekali tidak boleh mengabaikan budaya serta jati diri negara.

Beliau turut merujuk penemuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan McKinsey & Company mengenai fenomena 'Productivity Paradox' yang menunjukkan pelaburan besar dalam teknologi baharu tidak semestinya meningkatkan produktiviti yang setimpal.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi digital negara perlu 'raise the ceiling' untuk melonjakkan daya saing dan serentak 'raise the floor' supaya jurang sosial tidak melebar.

YAB Perdana Menteri menegaskan, tanpa tatakelola yang baik, transformasi digital berisiko menjadi ruang salah guna kuasa, kronisme dan rasuah yang akhirnya membebankan rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa penguasaan AI mestilah dipandu nilai agama, budaya dan moral agar ia tidak hanya menjadi alat tetapi wahana memperkasa kesejahteraan manusia.

Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa pembangunan bakat tempatan amat penting supaya Malaysia tidak hanya bergantung kepada kuasa luar dalam teknologi AI.

Sesi TEMU ANWAR disusuli dialog terbuka bersama pelajar MMU yang mengajukan soalan mengenai masa depan pekerjaan, kerjasama ASEAN, cabaran ketergantungan kepada AI, kos pendidikan dan agenda perpaduan nasional.

Menjawab isu peluang pekerjaan, YAB Dato' Seri Anwar menjelaskan permintaan industri terhadap graduan AI sangat tinggi termasuk keperluan ribuan tenaga mahir oleh syarikat antarabangsa seperti Infineon.

Mengenai kerjasama serantau, beliau menekankan bahawa ASEAN kini memberi tumpuan kepada keterhubungan digital dan grid tenaga yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan rantau.

Isu kebimbangan generasi muda yang terlalu bergantung kepada AI turut dibangkitkan, dan beliau menegaskan keperluan mengimbangi penggunaan teknologi dengan nilai serta disiplin pendidikan.

Dalam aspek kos pendidikan, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan kadar pengajian pelajar antarabangsa pada tahap kompetitif, manakala pelajar tempatan terus mendapat keutamaan melalui pelbagai subsidi.

Cadangan tambahan bantuan sekali beri (one-off) RM100 kepada mahasiswa akan dipertimbangkan dalam Belanjawan, sambil YAB Dato' Seri Anwar bingkas mengingatkan para hadirin bahawa langkah tegas melawan rasuah adalah kunci dalam mengembalikan hasil negara kepada rakyat.

Program petang tadi turut diselangi dengan pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU (FAIE) yang baharu serta pemeteraian Memorandum Persefahaman antara MMU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menubuhkan Pusat Transformasi AI (AIX) dengan pelaburan bernilai RM37 juta.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Syamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengerusi Telekom Malaysia, Datuk Zainal Abidin Putih; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 416
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 08 September 2025, 09:32:49.

logo-sirim