KPT Anjur eDOLA 2025 Pacu Inovasi Digital Dan AI TVET

Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti (eDOLA) ke-13 telah berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam dengan tema An AI TVET Experience semalam.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang dalam ucapannya menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata POLYCC sebagai penyumbang terbesar 40 peratus lulusan TVET negara perlu memastikan sistem penyampaian pendidikan yang lebih tangkas dan relevan selaras dengan keperluan industri semasa.
Justeru, penganjuran eDOLA ini memberi pengiktirafan kepada warga POLYCC yang berinovasi dalam pembangunan bahan pembelajaran digital dan aplikasi AI sekali gus menyemarakkan budaya pembelajaran digital di seluruh institusi.
Edisi kali ini turut mencatat sejarah apabila POLYCC menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Largest Participation in AI Large Language Model League dengan penyertaan seramai 2,501 peserta.
Majlis sama menyaksikan pelancaran POLYCC OVDL Instructional Framework yang mengintegrasikan teknologi digital dalam pembelajaran jarak jauh serta penyampaian peruntukan Horizon Digital POLYCC Zon Sabah bagi memperkukuh infrastruktur digital.
Sebanyak lima (5) kategori utama telah dipertandingkan iaitu Augmented Pages, AI EduVision, PodiumCast, TikTok Tutor serta Anugerah Rekabentuk Instruksional Fleksibel Teradun dan Bersemuka (ARIF).
Pemenang utama kategori ialah Kolej Komuniti Masjid Tanah (Augmented Pages); Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (AI EduVision); Politeknik Balik Pulau (PodiumCast); Politeknik Muadzam Shah (TikTok Tutor dan ARIF Bersemuka); serta Politeknik Ibrahim Sultan (ARIF Teradun).
Politeknik Muadzam Shah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas memenangi dua (2) kategori utama dan mencatat pelaksanaan pembelajaran teradun tertinggi dengan skor 100 peratus.
Selain itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail turut dianugerahkan Tokoh Reformasi TVET Digital sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dalam merealisasikan agenda pendigitalan pembelajaran di POLYCC.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir serta barisan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 393