Jelajah Pendidikan Tinggi Di Pantai Timur Sabah: Ilmu Dijulang, Komuniti Disantuni

Hari kedua di Pantai Timur Sabah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan siri program Jelajah Pendidikan Tinggi untuk Komuniti@Sabah dengan penganjuran Siri 7 di Bangunan G.P.W Kompleks Felda Umas, Tawau hari ini.
Program yang menghimpunkan penduduk sekitar Felda Umas, membuka ruang kepada komuniti setempat untuk mengenali lebih dekat peluang pendidikan tinggi, pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan latihan kemahiran yang ditawarkan Politeknik serta Kolej Komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa penganjuran jelajah ini selari dengan hasrat Kerajaan MADANI yang mahu memperluas akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Beliau berkata, kursus-kursus jangka pendek seperti kulinari, elektrik, komputer dan automotif yang ditawarkan Kolej Komuniti mampu memberi pendedahan kemahiran baharu serta membuka peluang keusahawanan kepada penduduk.
Beliau turut menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras kepada penubuhan Kolej Komuniti. Antara kursus yang diperkenalkan sempena program ini ialah kursus pendek Resin Art, Solar bot, Asas Pembuatan Sabun, Asas Gubahan Bouquet, Kerepok Lekor dan Sos Pencicah serta Pengenalan Sistem Gantungan dan Tayar Automotif.
Selain pendedahan mengenai Kolej Komuniti, beliau turut menekankan kesinambungan laluan pendidikan melalui Politeknik, universiti awam seperti UiTM dan UMS, serta peluang pembiayaan pendidikan seperti PTPTN. Katanya, pelajar Sabah digalakkan untuk tidak berhenti setakat sijil tetapi terus menyambung pengajian ke peringkat diploma, ijazah malah hingga ke peringkat kedoktoran, selaras dengan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Terdahulu, Program Jelajah Pendidikan Tinggi untuk Komuniti@Sabah Siri 6 turut berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu semalam.
Seiring sambutan Bulan Kebangsaan, beliau mengingatkan masyarakat agar mencontohi perjuangan tokoh kemerdekaan seperti Almarhum Tun Abdul Razak dan Almarhum Tun Mustafa yang mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap dasar pembangunan. Beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar agar menjauhi budaya buli, sebaliknya menjadi insan yang berguna serta menyumbang kepada masyarakat.
YB Timbalan Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Sabah, termasuk tenaga pengajar dan pelajar serta komuniti setempat yang hadir menyemarakkan lagi penganjuran siri jelajah ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Dr. Riam a/p Chau Mai; Pengarah Kolej Komuniti Tawau, Ts. Md Syadiqin Awg Adi @ Jumaat; serta pengarah-pengarah POLYCC Zon Sabah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 468