Teknologi Ai Perlu Diterap Etika, Elak Ketirisan Tatakelola

Teknologi Ai Perlu Diterap Etika, Elak Ketirisan Tatakelola

“Kita telah bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI (kecerdasan buatan) negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI.

Pada masa sama, saya juga ingin menegaskan bahawa nilai-nilai manusia, perlindungan data dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, semuanya terkesan serta diberi makna yang baharu oleh teknologi ini."

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan Dalam Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Pendidikan Sains (InvENT 2024) dianjurkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pagi tadi.

Teks beliau yang telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut menggesa semua pihak menyokong serta memainkan peranan menjayakan aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau mahu penyelidik, pembangun dan pembuat keputusan bekerjasama membangunkan teknologi terkait AI serta mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dan beretika.

Tambah beliau lagi, disebalik peranan AI dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, kecekapan dan kreativiti manusia, aplikasi moden serta dinamik itu juga ada sisi gelap yang perlu disedari oleh masyarakat.

Teknologi ‘deepfake’ contohnya, berupaya menghakis kepercayaan kepada realiti digital serta berupaya mengubah persepsi masyarakat terhadap realiti, mengancam integriti maklumat serta menimbulkan kekeliruan.

Justeru, kerajaan katanya, mengambil pendekatan meminimumkan risiko dengan cara mengenal pasti risiko berkait dengan impak AI dalam masyarakat dan kehidupan rakyat, serta mempertimbangkan pengenalan dan undang-undang baharu demi mengelakkan isu ketirisan tatakelola AI.

Program InvENT 2024 merupakan sebahagian usaha UiTM untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap perkembangan dan penggunaan AI di Malaysia supaya pengintegrasiannya ke dalam ketamadunan manusia sebagaimana telah digariskan dalam Peta Jalan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan Malaysia 2021-2025.

Dianjurkan bermula esok hingga 22 Ogos 2024 di Shah Alam Convention Centre (SACC), sebanyak 100 kertas kerja akan dibentangkan yang akan mencakupi bidang kejuruteraan, sains komputer, dan pendidikan sains.

Program ini diharapkan dapat membuka ruang dan peluang bagi masyarakat untuk memahami dan mendalami teknologi AI, seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia sebagai negara yang maju dalam era digital.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose; dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1170
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim