i-Future 2024 Berjaya Mewujudkan Rangkaian Kepimpinan Mahasiswa Di Pentas Global
"Saya berharap agar salah seorang dalam kalangan peserta iFUTURE 2024 ini, pada masa akan datang, akan muncul seorang pemimpin negara yang hebat, seorang yang mempunyai pengaruh yang besar, yang mampu merubah masa depan negara dan juga masyarakat dunia'.
Begitu harapan yang diungkapkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada 1000 orang pemimpin mahasiswa dalam dan luar negara yang telah bermukim selama tiga (3) hari di persidangan iFUTURE 2024 yang julung-julung kali diadakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini.
Turun merasmikan penutup persidangan tersebut di sini petang tadi, beliau turut berharap agar semua peserta akan memanfaatkan semua isi perkongsian dan diskusi daripada ahli-ahli panel dalam memperkasakan bakat kepimpinan mereka.
Malah, kesinambungan ukhuwah yang terbina sesama mereka daripada pertemuan di iFUTURE 2024 ini turut membawa kepada penubuhan majlis Global Student Unity Network (GSUN) yang akan menjadi jaringan kerjasama serta pembangunan program kepimpinan mahasiswa antarabangsa.
"Bayangkan kalau hari ini bermula dengan 1000 orang, dalam masa akan datang jumlah ini akan bertambah dan sekali gus mampu memposisikan Malaysia serta sektor pendidikan tingginya di mata dunia", tambah beliau lagi.
Berpuas hati dengan penganjuran bertaraf antarabangsa ini, YB Menteri mengatakan persidangan ini telah menepati objektifnya iaitu dengan memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperkukuhkan penyerlahan bakat kepimpinan; meningkatkan kualiti keilmuan; mengukuhkan keterampilan; serta meningkatkan kemahiran pengucapan awam selari dengan matlamat dan hala tuju KPT.
Pada merasmikan iFUTURE 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim telah turut menggesa para peserta untuk terus berani bersuara dalam memperjuangkan isu-isu negara dan global seperti kemanusiaan, rasuah, kelestarian alam, jurang kemiskinan berpandukan pada prinsip dan nilai yang teguh.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir menyampaikan ucaptamanya pada hari kedua iFUTURE 2024 juga telah menyeru para mahasiswa untuk bangkit dan bergandingan dalam mengorak langkah bagi merubah hala tuju masa depan dunia.
Penganjuran i-FUTURE telah mendapat kerjasama daripada Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM); Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK); dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menghimpunkan lebih 1000 orang pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa dari 46 buah negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Saraswathy Kandasami; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1126