DICE 2.0 Cambah Minat Mahasiswa Meriahkan Industri Digital Kreatif Negara

DICE 2.0 Cambah Minat Mahasiswa Meriahkan Industri Digital Kreatif Negara

"Industri kandungan digital kreatif telah menjadi satu daripada komponen penting dalam kehidupan kita yang amat diperlukan, baik dalam memudahkan urusan seharian kita, meningkatkan produktiviti kerja mahupun membuka peluang perniagaan dan akses pasaran kepada lebih banyak kumpulan sasar.

Hasilnya, industri digital di negara ini semakin menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan disasarkan menyumbang 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan berpotensi membuka sehingga 10,000 peluang pekerjaan baharu kepada bakat tempatan yang telah menjana purata pendapatan tahunan kira-kira RM5.5 bilion bagi kandungan digital".

Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika berucap merasmikan majlis penutupan program Digital Innovation Creativepreneur 2.0 (DICE 2.0) di sini semalam.

Tambahnya lagi, pihak Kerajaan terutamanya KPT, telah melancarkan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan dalam penyediaan peruntukan, kerangka undang-undang, kemudahan dan infrastruktur agar sentiasa kondusif.

Usaha tersebut direalisasikan dengan penganjuran program DICE 2.0 melalui kerjasama Bahagian Perancangan Strategik KPT dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bermatlamat untuk mengiktiraf pembangunan kandungan kreatif digital di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara.

Seramai 250 peserta dalam kalangan pelajar dan pensyarah IPT telah turut serta dalam penghasilan 48 projek kandungan digital kreatif yang terdiri daripada kategori animasi, filem pendek, aplikasi augmented reality, aplikasi virtual reality dan aplikasi permainan digital.

Beliau juga turut berharap agar usahawan IPT yang lahir dari program ini memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program dan meneruskan usaha dalam bidang dunia keusahawanan kandungan digital kreatif.

Hadir sama Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, Dato’ Yusoff Muhamad; serta Naib Canselor UniSZA, Dato' Prof. Dr. Fadzli Adam. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 592
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 03:07:22.

logo-sirim