Tahniah dan Syabas kepada Semua Atlet dan Sukarelawan SUKIPT 2022!!!

Tahniah dan Syabas kepada Semua Atlet dan Sukarelawan SUKIPT 2022!!!

Setelah 10 hari berkampung dan beradu tenaga di UPSI sejak 12 Ogos lalu, kejohanan Sukan IPT 2022 yang melibatkan hampir 6 ribu atlet IPT seluruh negara ini melabuhkan tirainya petang tadi.

YB. Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi turut turun bagi menyempurnakan majlis penutupan SUKIPT 2022 di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

UPM telah dijulang sebagai juara keseluruhan kejohanan dengan kutipan 38 pingat emas yang 19 darinya datang daripada sukan olahraga, manakala di tempat ke-2 UiTM sebanyak 17 emas dan Sunway University di tempat ketiga dengan 15 emas.

Menariknya, edisi kelima SUKIPT kali ini turut memecahkan 46 rekod kejohanan melibatkan 13 acara olahraga, 18 acara kolam renang (catatan tangan) dan bagi sukan memanah, 15 rekod berjaya dicapai dalam acara Compound dan juga Recurve.

Saudara Khiew Hoe Yean, atlet renang kebangsaan yang mewakili UCSI telah mempamerkan aksi luar biasa di kolam renang apabila memenangi 11 pingat emas keseluruhan (8 Individu dan 3 berpasukan) yang melayakkannya dinobat Olahragawan SUKIPT 2022.

Atlet renang Sunway University iaitu saudari Ong Yong Qi turut dinobat sebagai Olahragawati SUKIPT 2022, manakala Anugerah Khas Pasukan pula telah diberikan kepada pasukan ragbi UPM (Lelaki) dan pasukan sofbol Politeknik Malaysia (Wanita).

Dalam ucapannya, YB. Menteri menzahirkan penghargaan kepada semua atlet IPT yang cemerlang kerana ia berjaya membuktikan bahawa penganjuran SUKIPT adalah tepat seiring komitmen KPT mengetengahkan potensi mereka ke arena yang lebih kompetitif.

Turut hadir YB Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Prof. Dato' Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI, Norisma Mohd Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT dan Dato' Dr. Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, KPT merangkap Ketua Sekretariat SUKIPT 2022.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6042
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.