Sinergi KPT-Media Jambatan Penghubung Dasar Kepada Rakyat
Peranan media massa diiktiraf sebagai elemen kritikal dalam ekosistem pendidikan tinggi negara bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan dapat difahami dengan jelas oleh segenap lapisan masyarakat.
Penegasan tersebut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang julung-julung kali diadakan semalam.
Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah itu telah dihadiri lebih 300 orang pengamal media serta barisan pegawai kanan, jabatan, agensi di bawah kementerian dan para Naib Canselor Universiti Awam.
Dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat KPT dengan kerjasama strategik Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), majlis tersebut bertujuan menghargai jasa dan sumbangan besar rakan media kepada kementerian sepanjang tahun 2025.
Dr. Zambry dalam ucapannya menekankan bahawa tanpa liputan meluas daripada rakan media, segala usaha dan pencapaian kementerian tidak mungkin dapat disalurkan kepada rakyat secara berkesan.
Media dilihat berperanan sebagai jambatan penghubung yang bukan sahaja menyampaikan berita, malah bertindak sebagai rakan dialog dalam memperkukuh pelaksanaan dasar di peringkat lapangan.
Keterlihatan program-program kementerian sepanjang tahun 2025 telah berjaya ditingkatkan hasil komitmen media melalui pelbagai platform termasuk televisyen, akhbar dan portal atas talian.
Kementerian sentiasa bersikap terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan membina daripada pihak media bagi memastikan perkhidmatan pendidikan tinggi negara sentiasa ditambah baik.
Kerjasama erat ini diharapkan terus utuh pada tahun hadapan dengan lebih banyak inisiatif bakal digerakkan demi memartabatkan pendidikan tinggi negara untuk manfaat semua.
Pada majlis itu juga, YB Menteri telah menyampaikan sumbangan PTPTN SIMPAN SSPN PRIME berjumlah RM1,000 seorang kepada sepuluh (10) orang anak-anak para pengamal media yang cemerlang dalam akademik tanpa mengira tahap pengajian mereka.
Turut hadir meraikan rakan media KPT, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafiee; serta Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafri Mohd Rahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 123