KPT Gariskan 67 Program Strategik Pacu Kecemerlangan Pendidikan Tinggi 2026

KPT Gariskan 67 Program Strategik Pacu Kecemerlangan Pendidikan Tinggi 2026

Pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara bagi tahun 2026 akan berpaksikan kepada penilaian keberkesanan impak bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat optimum kepada pemegang taruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kesinambungan program sedia ada perlu melalui proses analisis impak yang menyeluruh dan bukan sekadar menjadi rutin tahunan semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat penutup pada Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 yang berlangsung di ibu negara siang tadi.

KPT telah mengenal pasti sebanyak 67 buah program strategik yang merangkumi 26 Agenda Transformatif dan 41 Program 'Signature' yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menekankan keperluan pendekatan yang lebih praktikal dalam merancang program dengan mengambil kira kekangan peruntukan serta realiti ekonomi semasa.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dalam pembentangannya menjelaskan bahawa semua perancangan tahun 2026 telah dipetakan selari dengan kerangka besar Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035.

Program-program yang dirangka meliputi impak merentasi lima (5) elemen utama iaitu sektor institusi; sektor industri; Institusi Pendidikan Tinggi (IPT); golongan pelajar; dan akademia.

Kementerian juga komited untuk memperkemas proses tadbir urus antara agensi bagi memastikan peruntukan penyelidikan dan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih efisien bermula awal tahun.

Seminar selama tiga (3) hari telah telah berjaya mengumpulkan percambahan fikiran daripada pengurusan tertinggi Kementerian dan IPT bagi memaktubkan hala tuju strategik sektor ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; para Naib Canselor IPT Awam; serta para pegawai kanan Kementerian, jabatan dan agensi. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 196
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim