Malaysia Tuan Rumah AUG 2026, Sasar Penyertaan 4,000 Atlet Serantau
Semangat kesatuan dan keharmonian serantau menjadi naratif utama dalam pelancaran Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang bakal menyaksikan Malaysia kembali sebagai tuan rumah bagi edisi ke-22.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian di ibu negara semalam.
Menurutnya, KPT komited menjadikan temasya dwitahunan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya wadah strategik bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama antara negara-negara negara anggota ASEAN.
Sebanyak 25 jenis sukan bakal dipertandingkan bermula 10 hingga 20 Disember 2026 yang dijangka melibatkan penyertaan lebih 4,000 atlet dan pegawai dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kali ini membuktikan kepercayaan Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) terhadap kemampuan negara dalam menganjurkan acara berprestij yang memupuk semangat kekeluargaan ASEAN.
KPT telah menetapkan dua (2) zon utama pertandingan melibatkan beberapa Universiti Awam di sekitar Lembah Klang bagi memastikan kelancaran logistik delegasi.
Selain memburu pingat, penganjuran ini memberi penekanan khusus kepada program pertukaran budaya bagi mengeratkan silaturahim serta memupuk persefahaman dalam kalangan pemimpin masa depan rantau ini.
Pihak kementerian juga bekerjasama erat dengan rakan strategik serantau untuk memastikan aspek keselamatan, perubatan dan kebajikan delegasi sentiasa terpelihara sepanjang temasya berlangsung.
Malaysia bertekad mengulangi kejayaan lampau sebagai juara keseluruhan seperti yang pernah dicapai pada edisi 2008 dan 2012 menerusi persediaan rapi atlet universiti tempatan.
Komitmen jitu daripada Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Kerja dan Sekretariat AUG memastikan setiap perancangan berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan demi mengharumkan nama negara.
Hadir sama Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Fazidah Mustafa; dan Presiden Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC), Prof. Madya Dr. Phassakon Nuntapanich.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 134