PM Umum Kenaikan Inisiatif FLYsiswa, Bantu Pelajar Terbang Ke Kampung Halaman

PM Umum Kenaikan Inisiatif FLYsiswa, Bantu Pelajar Terbang Ke Kampung Halaman

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam petang tadi bagi mengiringi Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Karnival FLYsiswa anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT).

Pada majlis tersebut, YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa kadar inisiatif bantuan subsidi FLYsiswa untuk setiap pelajar yang berkelayakan akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 bermula 1 Januari 2025.

FLYsiswa merupakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebagai ikhtiar mengurangkan beban pelajar dalam kalangan Universiti Awam; Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah KPT; serta Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun hadapan.

Pelaksanaan inisiatif ini juga adalah sejajar dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu dijangka akan memanfaatkan lebih kurang 60,000 orang pelajar yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik tersebut.

Sehubungan itu, para pelajar yang berkenaan boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan

(https://subsidiudara.mot.gov.my/) mulai tarikh tersebut.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook; Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Setiausaha MOT, Dato' Jana Santhiran Muniayan; serta Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 377
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:10:02.

logo-sirim