AI Pacu Transformasi Ekonomi Dan Sosial Global

AI Pacu Transformasi Ekonomi Dan Sosial Global

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu transformasi ekonomi dan sosial global.

“AI bukan sekadar teknologi, ia kini menjadi pemacu utama kepada transformasi ekonomi dan sosial di peringkat global. Dalam konteks negara kita, AI berpotensi untuk menjadi asas kepada pembangunan yang mampan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi di rantau Asia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan Negara di sini pagi tadi.

Seminar dua (2) hari anjuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merupakan platform untuk membincangkan masa depan teknologi kecerdasan buatan di Malaysia.

Seramai 200 peserta, termasuk wakil institusi pendidikan tinggi, pihak industri, dan agensi kerajaan, menghadiri sesi pembentangan dan bengkel yang dipimpin oleh pakar-pakar AI.

Objektif seminar ini termasuklah memperkukuhkan kurikulum program akademik AI, mengenal pasti peluang kolaborasi dalam pertukaran pelajar, latihan industri, dan program mobiliti, serta merumuskan strategi yang sejajar dengan aspirasi nasional untuk menghasilkan bakat AI berkualiti tinggi.

Tambah YB Datuk Ts. Mustapha, kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan industri adalah contoh terbaik sinergi yang mampu mempercepatkan transformasi teknologi negara.

Justeru, beliau berharap inisiatif ini dapat menghasilkan graduan yang bukan sahaja memiliki kecekapan teknikal tetapi juga sifat kepimpinan, etika, dan daya cipta yang tinggi.

Dapatan seminar ini seterusnya akan menjadi asas kepada strategi pendidikan tinggi berimpak tinggi, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi AI di benua Asia sambil membentuk hala tuju pendidikan tinggi negara yang lebih relevan dan futuristik.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM yang menjalankan fungsi Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 401
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 07:17:37.

logo-sirim