Persidangan Akademik Antara Tamadun 2026: YB Menteri Seru Sarjana Masyarakatkan Ilmu, Perkukuh Kefahaman Silang Budaya

2 April 2026 | Gombak, Selangor
Peranan Institusi Pendidikan Tinggi seharusnya tidak terhad kepada pengajaran dan penyelidikan semata-mata, sebaliknya wajib bertindak sebagai jambatan penghubung antara pelbagai peradaban dunia.
Gagasan tersebut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika merasmikan Persidangan Akademik Antara Tamadun 2026: IIUM-Oxford-PKU-Fudan Dialogues di sini siang tadi.
Persidangan antarabangsa bertemakan "Islam, Kepelbagaian, dan Transformasi: Perspektif dari Timur dan Barat" tersebut berlangsung selama dua (2) hari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak bermula semalam.
YB Menteri menegaskan bahawa universiti perlu memegang tanggungjawab untuk menyediakan ruang wacana bebas agar masyarakat pelbagai bangsa dapat saling mengenali tanpa kehilangan jati diri masing-masing.
Hal itu sejajar dengan cabaran rentas sempadan dunia masa kini di mana kepantasan penyebaran maklumat selalunya bergerak seiring dengan jurang salah faham yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat sivil.
Justeru, beliau menyifatkan penganjuran persidangan ini bertepatan dengan masanya untuk menguji andaian serta memperdalam kefahaman merentasi perbezaan melalui pertemuan tradisi yang pelbagai.
Penglibatan sarjana dari UIAM, Universiti Oxford, Universiti Peking, dan Universiti Fudan membawa nilai yang sangat bermakna melangkaui sekadar kerjasama institusi pendidikan biasa.
Beliau turut menggesa para sarjana supaya sentiasa mentafsir setiap bentuk perubahan landskap dunia dengan kesungguhan bagi membantu masyarakat maju ke hadapan tanpa hilang pertimbangan keseimbangan.
Menerusi platform dialog antara tamadun sebegini, Kementerian yakin kesarjanaan akan kekal utuh dan peka terhadap kepelbagaian tradisi dalam usaha mendepani krisis dunia yang semakin terpecah mengikut garis budaya atau ideologi.
Turut hadir, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Setiausaha Agung Pejabat Mufti Besar Kesultanan Oman, TYT Sheikh Ahmed Saud Al-Siyabi; dan Profesor St. Antony's College Universiti Oxford, Prof. Raihan Ismail.
- Last updated on .
- Hits: 126
