KPT Zahir Sokongan Padu Program Usahawan Muda 2026 Anjuran KPDN, Perkasa Graduan Sebagai Pencipta Kerjaya

KPT Zahir Sokongan Padu Program Usahawan Muda 2026 Anjuran KPDN, Perkasa Graduan Sebagai Pencipta Kerjaya

2 April 2026 | Bangi, Selangor

Transisi minda berteraskan tema ‘Dari Kampus ke Dunia Niaga’ terus disokong teguh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan para graduan berpotensi menjadi pencipta peluang pekerjaan.

Sokongan berterusan itu dizahirkan melalui pembabitan aktif KPT dalam Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, menzahirkan komitmen kementeriannya menerusi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Kemeriahan program kebangsaan yang berjaya menghimpunkan 3,000 orang pelajar itu diakhiri dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh petang tadi.

KPT menyalurkan sokongan jitu menerusi kolaborasi strategik Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM) bersama pihak SSM bagi terus memperkasa ekosistem keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Keterlibatan kementerian ini adalah seiring dengan wawasan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang memberi penekanan terhadap pembentukan mahasiswa inovatif serta berciri keusahawanan.

Melalui platform penganjuran KPDN ini, KPT turut memberi perhatian kepada inisiatif mengiktiraf peranan tenaga akademik dan pentadbiran yang sentiasa membimbing pelajar menembusi fasa pengkomersilan produk.

KPT turut mengalu-alukan inisiatif pihak SSM memperkasa kelestarian usahawan siswa melalui pelanjutan tempoh Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu (1) tahun kepada dua (2) tahun.

Kementerian berharap para pelajar menimba sebanyak mungkin pengalaman daripada inisiatif anjuran KPDN ini sebagai pemangkin semangat untuk memulakan perniagaan dengan penuh keberanian.

Pada majlis yang sama, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Business Combat PUM 2026.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz. 

  • Last updated on .
  • Hits: 154
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 09 April 2026, 08:49:04.

logo-sirim