FIM Siri 9 Bersama Bank Negara Malaysia: Reformasi Struktur dan Sektor Kewangan, Kunci Ketahanan Ekonomi Negara Depani Ketidaktentuan Geopolitik Global

1 April 2026 | Kuala Lumpur
Kesiapsiagaan negara mendepani ketidaktentuan geopolitik global memerlukan peranan aktif sektor kewangan serta pelaksanaan reformasi struktur yang komprehensif bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus dipacu kukuh.
Menyedari kepentingan wacana keilmuan dalam merungkai cabaran tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) telah menganjurkan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri ke-9 di ibu negara semalam.
Melalui forum tersebut, perbahasan antara pihak kerajaan, akademik, dan profesional, telah didasarkan kepada tajuk, "Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan Dan Reformasi Struktur dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global".
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menunjangi sesi forum tersebut menegaskan bahawa rakyat dan negara perlu sentiasa bersiap sedia dalam mod krisis susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
Beliau turut menyeru agar seluruh lapisan masyarakat dan para pemimpin mengetepikan perbezaan politik demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha pemulihan serta pengukuhan asas ekonomi nasional.
Barisan ahli panel yang menjayakan forum semalam ialah Menteri Kewangan II, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour; serta Ahli Ekonomi Utama Bank Dunia Malaysia, Dr. Apurva Sanghi.
Perbincangan berfakta yang turut memperincikan kejayaan kerajaan menurunkan defisit fiskal negara secara berperingkat hasil keberanian melaksanakan reformasi penstrukturan semula beban subsidi melampau.
Tambahan pula, sinergi wacana tersebut berjaya menonjolkan unjuran positif pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini yang dijangka kekal berdaya tahan pada kadar empat (4) hingga lima (5) peratus meskipun berhadapan persekitaran mencabar.
Hadirin turut memanfaatkan ruang wacana untuk berdialog bersama YAB Perdana Menteri dan ahli panel bagi membincangkan ketidaktentuan kewangan semasa serta langkah proaktif Kerajaan dalam merancakkan ekosistem ekonomi demi kelangsungan hidup rakyat kebanyakan.
Penganjuran bersama semalam membuktikan iltizam KPT dan BNM dalam memastikan Institusi Pendidikan Tinggi serta sektor kewangan terus berfungsi sebagai jambatan strategik yang memandu hala tuju dasar negara.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 1072
