Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT Perkukuh Semangat Kebersamaan Warga Kementerian

6 Mac 2026 | Putrajaya
Suasana penuh kemesraan dan semangat kebersamaan mewarnai Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila warga kementerian berhimpun dalam Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT Tahun 2026 yang dianjurkan bagi menyemarakkan penghayatan Ramadan serta memperkukuh jalinan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian semalam.
Program yang menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan kementerian itu turut disertai wakil agensi serta institusi pendidikan tinggi di bawah KPT, sekali gus menjadi platform mempererat hubungan silaturahim serta memupuk nilai kebersamaan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis turut dimeriahkan dengan sesi memasak bubur lambuk yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama Pengarah Urusan dan Pengasas Al-Malik Marquee & Catering AMC (D’Tandoor), Abdul Malik Abdullah. Sesi tersebut menjadi gimik simbolik kepada program pengagihan bubur lambuk yang merupakan tradisi Ramadan dalam menyemai budaya berkongsi rezeki serta memperkukuh semangat ukhuwah dalam kalangan warga kementerian.
Dalam majlis yang sama, sumbangan bubur lambuk turut diserahkan secara simbolik kepada pihak kementerian sebelum diagihkan kepada beberapa wakil badan di bawah KPT termasuk Kelab Sukan dan Kebajikan KPT, Surau Ibadurrahman, Majlis Bersama Jabatan (MBJ) serta PUSPANITA Cawangan KPT.
Turut mengisi pengisian program ialah tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk “Golongan yang Rugi”, yang menekankan kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah, meningkatkan ketakwaan serta memperbaiki akhlak agar tidak mensia-siakan keberkatan bulan yang mulia ini.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menyampaikan amanat kepada warga KPT dengan menyeru agar seluruh warga kementerian terus memperkukuh komitmen dan dedikasi dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara.
Beliau menegaskan bahawa KPT merupakan ‘Akal Budi Nusa’ yang menjadi nadi pemikiran negara dalam memartabatkan tradisi ilmu serta membina masyarakat berpengetahuan melalui pengukuhan budaya ilmu dalam organisasi.
Menurut beliau, pembudayaan ilmu perlu dijadikan amalan berterusan dalam kalangan warga kementerian melalui pelbagai program intelektual seperti sesi Telaah atau bedah buku bagi menghidupkan kembali tradisi keilmuan dalam organisasi. Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak seluruh warga KPT agar sentiasa mengekalkan sifat rendah diri serta menjadikan Ramadan sebagai medan bermuhasabah diri, di samping mengamalkan prinsip kesungguhan dan kecemerlangan dalam setiap tugasan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 30 penerima dalam kalangan warga kementerian yang terdiri daripada kategori ibu tunggal, bapa tunggal, asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit kronik sebagai tanda keprihatinan kementerian terhadap kebajikan warganya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah serta pengurusan tertinggi Kementerian dan IPT.
- Last updated on .
- Hits: 201
