KPT Perkukuh Ekosistem Keusahawanan IPT Melalui Pelan Tindakan PTK-IPT 2026-2030

5 Mac 2026 | Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Sesi Townhall Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 sebagai platform pemakluman awal dan libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan di institusi pendidikan tinggi negara.
Sesi yang berlangsung pada pagi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, yang mewakili kementerian dalam menetapkan hala tuju baharu agenda keusahawanan akademik.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan pelan tindakan baharu ini merupakan kesinambungan kepada PTK-IPT 2021–2025 dan selaras dengan agenda nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Beliau berkata, pembangunan PTK-IPT 2026–2030 melibatkan proses libat urus yang meluas bersama pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, institusi kewangan, badan bukan kerajaan serta pemain industri bagi memastikan pelan yang dihasilkan bersifat menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa negara.
Menurutnya, pelan tindakan baharu itu memberi penekanan kepada usaha melahirkan pembelajar IPT yang memiliki kemahiran berpaksikan kemanusiaan, inovatif, berciri keusahawanan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta pasaran pekerjaan masa hadapan. Beliau turut menjelaskan bahawa graduan pada masa kini tidak lagi hanya dilihat sebagai pencari pekerjaan, sebaliknya berpotensi menjadi pencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan perniagaan berasaskan inovasi dan teknologi.
Dalam konteks ekonomi global yang semakin tidak menentu dan dipacu perubahan teknologi yang pesat, bidang keusahawanan dilihat sebagai antara pilihan kerjaya yang semakin relevan kepada pelajar IPT, sekali gus menuntut pengukuhan ekosistem keusahawanan melalui kerjasama pelbagai pihak.
Pelan tindakan baharu itu juga menekankan penerapan penggunaan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) dalam pembangunan perniagaan pelajar, di samping memperluas program keusahawanan yang mampu meningkatkan tahap inovasi serta daya saing produk dan perkhidmatan yang dihasilkan.
Dalam pada itu, KPT turut memberi perhatian kepada pengiktirafan peranan tenaga akademik dan pentadbiran IPT yang terlibat secara aktif dalam membimbing pelajar ke arah keusahawanan, termasuk melalui penglibatan dalam aktiviti pengkomersilan produk dan kerjasama bersama industri.
Sesi townhall tersebut turut menjadi platform bagi membentangkan perkembangan semasa pembangunan PTK-IPT 2026–2030 serta membuka ruang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan maklum balas bagi memastikan pelan tindakan yang bakal dimuktamadkan bersifat inklusif, relevan dan menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara melalui sektor pendidikan tinggi.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Fazidah Mustafa; Ketua Kumpulan Pakar Pelan Pembangunan Keusahawanan 2026-2030, Prof. Dato Dr. Aldrin Abdullah; dan Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti Awam Malaysia (MAKMUM), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat.
- Last updated on .
- Hits: 202
