KPT Perkukuh Pembangunan dan Naik Taraf Fasiliti Politeknik Muadzam Shah, Pahang

KPT Perkukuh Pembangunan dan Naik Taraf Fasiliti Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Muadzam Shah, Pahang (PMS) bagi meninjau sendiri status fasiliti serta perkembangan projek pembangunan di institusi berkenaan.

Lawatan ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan penyelenggaraan di PMS berjalan dengan teratur serta memenuhi keperluan semasa dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada warga kampus.

Dalam lawatan berkenaan, beliau menyatakan bahawa dua projek pembangunan telah diluluskan dengan satu daripadanya telah siap dilaksanakan manakala satu lagi masih berada di peringkat pra pelaksanaan walaupun telah diluluskan sejak tahun 2025.

Hasil tinjauan di sekitar kampus mendapati keadaan fasiliti PMS mengalami kerosakan menyeluruh yang memerlukan intervensi segera termasuk kerja mereka bentuk semula struktur bumbung serta naik taraf sistem mekanikal dan elektrik.

Keadaan fasiliti yang daif dan kritikal pada masa ini turut menjejaskan pengoperasian PMS secara optimum sekali gus menuntut tindakan pembaikan yang lebih menyeluruh dan terancang.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara KPT, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan operasi harian kampus. Dalam konteks ini, pendekatan pelaksanaan secara berfasa dicadangkan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan secara sistematik sambil mengekalkan keselamatan warga kampus.

Selain itu, PMS turut menerima kelulusan enam projek pembaikan dan naik taraf di bawah inisiatif Projek Usang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM509,490 bagi meningkatkan keadaan fasiliti sedia ada.

Sebagai langkah segera dalam menangani isu fasiliti kritikal, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan Projek Usang sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem kumbahan dan fasiliti tandas di bangunan asrama serta kerja berkaitan di PMS.

Kerajaan melalui KPT komited untuk memastikan semua institusi pendidikan tinggi di bawah kementerian terus diperkasa dengan kemudahan yang selamat, moden dan selari dengan keperluan semasa sektor TVET.

Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan PMS terus berperanan sebagai institusi TVET yang melahirkan graduan holistik, kompeten dan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi pemerkasaan pendidikan tinggi negara.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 49
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 09 Mac 2026, 04:59:26.

logo-sirim