Pentadbir UA Diseru Peka Dengan Perubahan Iklim Demi Kelestarian Alam

Pentadbir UA Diseru Peka Dengan Perubahan Iklim Demi Kelestarian Alam

Para pentadbir Universiti Awam (UA) diseru untuk sentiasa peka dalam menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan perubahan-perubahan iklim yang berlaku di dunia masa kini.

"Perubahan ini memerlukan kesedaran kepada semua pentadbir dengan penerapan nilai-nilai yang baik dan ia melibatkan bagaimana kita melihat perubahan tersebut, antaranya perubahan kepada tenaga hijau, atau memilih kecekapan penggunaan serta pengurusan tenaga".

Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk "Climate Resilience: Roles of Higher Education Institutes Administrators" ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Pentadbir Universiti (iNASA) di sini pagi tadi.

Tambahnya lagi, "antara yang terbaik seperti berbasikal dan berjalan kaki untuk destinasi yang singkat yang mana ia menyumbang kepada teknologi hijau dan pengurangan karbon, kitar semula juga adalah satu langkah yang berterusan dalam keseimbangan iklim kini".

Seminar anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Persatuan Pentadbir dan Profesional (PMA) dengan kerjasama strategik Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) memfokuskan tema "Memperkasakan Pentadbir untuk Mitigasi Perubahan Iklim di IPT: Pendekatan Bersepadu Melalui Inovasi Digital dan Penglibatan Komuniti" pada kali ini.

Tema ini memerlukan pendekatan yang komprehensif, menyepadukan teknologi digital dan kerjasama komuniti untuk mengurangkan jejak karbon, meningkatkan daya tahan dan menggalakkan penjagaan alam sekitar merentas sektor IPT.

Persidangan dua (2) hari melibatkan 100 orang peserta tersebut bertujuan untuk menonjolkan peranan penting pentadbir perkhidmatan sokongan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya dalam sektor awam dengan pandangan yang boleh digunakan dalam menangani pelbagai cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.

Beberapa pembentang dari dalam dan luar negara hadir membentangkan kertas kerja mereka, antaranya dari Indonesia; Brunei; termasuklah bekas Menteri Pendidikan Bhutan, Thakur S. Powdyel; serta Pengerusi Bersama Pengerusi UNESCO dalam Mengorientasikan Semula Pendidikan ke arah Kelestarian di Universiti York di Toronto, Kanada, Katrin Kohl.

Tambahnya lagi, perkhidmatan sokongan dalam IPT adalah kunci untuk melaksanakan anjakan infrastruktur, operasi dan budaya yang diperlukan untuk bertindak balas terhadap perubahan iklim.

Sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan kepimpinan komuniti, IPT mempunyai tanggungjawab dan kapasiti unik untuk memacu perubahan alam sekitar yang ketara.

Hadir sama Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIAM, Prof. Dr. Ahmad Faris Ismail. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1947
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim