Menteri Pendidikan Tinggi Terima Kunjungan Hormat Speaker Of The Legislative Chamber Of The Oliy Majlis Of The Republic Of Uzbekistan Berkenaan Kerjasama Malaysia - Uzbekistan Dalam Bidang Pendidikan Tinggi
Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah bertemu dengan Speaker of the Legislative Chamber of the Oliy Majlis of the Republic of Uzbekistan dalam rangka lawatan kerja delegasinya ke Malaysia pada petang ini.
Semasa sesi pertemuan ini, YB Menteri mengalu-alukan kehadiran Speaker Parlimen Uzbekistan ke Malaysia. Delegasi turut berkongsi aspirasi dalam usaha mereka memperkukuhkan sistem dan struktur pendidikan tinggi di Uzbekistan dan Malaysia merupakan negara yang sering menjadi contoh kerana mempunyai persamaan dari segi budaya, agama dan sejarah.
Pihak Uzbekistan turut berkongsi fokus dan minat mereka dalam sistem TVET di Malaysia. Dalam masa yang sama, YB Menteri telah memberi cadangan untuk meneroka bidang penyelidikan dan inovasi sekaligus memanfaatkan kepakaran daripada kedua-dua negara.
Selain itu, pihak Uzbekistan menyatakan hasrat untuk menghantar lebih ramai pelajarnya untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. YB Menteri amat berbesar hati dengan hasrat tersebut dan turut menggalakkan pelajar Uzbekistan untuk menyertai program pertukaran pelajar di Malaysia. Langkah ini selaras dengan usaha mengantarabangsakan pendidikan tinggi di Malaysia.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menandatangani MoU di antara dua buah negara dalam masa yang terdekat.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah berkenaan potensi kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara melalui pewujudan konsortium universiti.
Turut hadir di pihak KPT ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Azlinda Azman; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1226