Pasukan Perubatan UKM Jayakan Program Outreach KPT @ Pulau Pinang 2024

Pasukan Perubatan UKM Jayakan Program Outreach KPT @ Pulau Pinang 2024

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menamatkan program lawatannya hari ini meninjau serta beramah mesra dengan para petugas kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang menjayakan program Outreach KPT @ Pulau Pinang 2024 di sini petang tadi.

Gabungan pasukan perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bersama Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM telah mengadakan Perkhidmatan Klinik Bergerak dan Ziarah Kasih (Home Visit) di Surau Kampung Permatang Ara sepanjang siang tadi.

Klinik Bergerak tersebut telah memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas secara percuma kepada kira-kira 50 orang penduduk setempat seperti pengukuran indeks jisim badan (BMI), ujian tekanan darah, pemeriksaan gula dalam darah dan konsultasi kesihatan.

YB Menteri yang diiringi Naib Canselor UKM, Dato’ Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman turut bersua dan bertanya khabar dengan warga setempat yang sedang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di situ.

Pada masa yang sama, pasukan perubatan UKM yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan telah melakukan ziarah kasih iaitu pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah.

Program turun padang ini merupakan inisiatif UKM dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjalani saringan kesihatan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1457
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim