Pendekatan 3P Bantu YB Menteri Cakna Isu Warga IPT
Sementara di sini, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah turut singgah ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang bagi meluangkan masa bertemu serta makan tengah hari bersama para wakil pelajar di situ.
Berkongsi amanat dengan mereka yang hadir, YB Menteri menerangkan bahawa beliau menggunakan pendekatan berteraskan konsep 3P (Padang; Perasaan; dan Penyelesaian) bagi memahami denyut nadi serta cakna keperluan segenap golongan yang ada di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Pelaksanaan konsep 3P itu telah diperkenalkan melalui Program Semarak Kampus MADANI bermula Mac lalu dengan YB Menteri telah pergi ke IPT di setiap negeri dan melakukan pelbagai pengisian termasuk menginap di asrama, berdialog dan lain-lain lagi.
Katanya, baik pelajar, pensyarah mahupun pentadbir, akan beliau santuni dengan cara turun padang, bagi memahami perasaan mereka yang memerlukan, dan seterusnya mencari penyelesaian tuntas supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa berwaspada dalam memastikan kesahihan hantaran-hantaran yang tular di media sosial masa kini.
"Gunakan ilmu dan pengetahuan yang ada dalam menapis dan memastikan berita yang kita baca di TikTok serta aplikasi lain tersebut adalah sahih dan tepat," ucap beliau.
Di kesempatan itu juga beliau telah memperkenalkan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Tinggi dan UiTM kepada para pelajar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1243