Program Penyerlahan Bakat Harvard Krokodiloes Mempromosi Pendidikan Tinggi Amerika Syarikat
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian telah menyempurnakan Program Penyerlahan Bakat Harvard Krokodiloes anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama pihak Kedutaan Amerika Syarikat (A.S.) di Malaysia pagi tadi.
Program ini melibatkan dua (2) komponen iaitu persembahan oleh The Harvard Krokodiloes dan sesi perkongsian panel bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar Malaysia dalam mencapai kecemerlangan akademik serta pendedahan bagi melanjutkan pengajian tinggi di A.S.
The Harvard Krokodiloes merupakan sebuah kumpulan yang terdiri daripada dua belas pelajar Harvard University, berpakaian tuksedo dan mahir dalam persembahan jazz klasik, pop, muzik swing dan funk dengan muzik-muzik daripada Great American Songbook dan banyak lagi.
Persembahan dan program-program mereka telah menggalakkan ramai belia supaya cemerlang dalam bidang akademik di samping turut menghayati seni muzik.
Dalam pada itu, sesi perkongsian panel yang dikendalikan oleh penasihat EducationUSA turut menampilkan ahli Harvard Krokodiloes dan alumni Harvard Malaysia dari Kelab Harvard Malaysia bagi membincangkan topik berkaitan kehidupan pelajar di Harvard University, cara mengimbangi akademik dan aktiviti kokurikulum, peluang untuk melanjutkan pengajian di Harvard dan perkongsian tentang proses permohonan ke universiti A.S melalui EducationUSA.
Secara kesuluruhannya, kerjasama dalam penganjuran program ini telah membuka peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala antara Malaysia dan A.S. serta mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), YBhg. Professor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabrain; dan Pemangku Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan A.S. di Malaysia, Encik Mike Sweeney.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1883