Pelan Strategik Pengurusan Aset KPT Bakal Tingkat Keberkesanan Infrastruktur IPTA

19 Mei 2026 | Putrajaya
Pengurusan aset Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) negara telah diberi penekanan sebagai komponen kritikal dalam memperkukuh keberkesanan ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, cekap dan berasaskan nilai guna optimum infrastruktur awam.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Pengurusan Aset (Operasi) KPT 2026–2030 di sini petang tadi.
Menurut beliau, Pelan Strategik yang dibangunkan itu bertujuan memperkukuh kerangka pengurusan aset IPTA secara lebih sistematik, bersepadu dan menyokong keperluan operasi universiti awam, politeknik serta kolej komuniti.
Beliau menjelaskan bahawa penyelarasan dasar antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah dikenal pasti sebagai elemen penting bagi memastikan setiap aset pendidikan tinggi diurus secara responsif, tersusun dan selaras dengan hala tuju pembangunan negara.
Jelasnya, pengurusan aset yang meliputi tanah, bangunan serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan berdasarkan pendekatan kitaran hayat bagi memastikan tahap keberkesanan dan kelestarian infrastruktur dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Beliau turut menegaskan bahawa kelemahan dalam pengurusan data aset seperti maklumat yang tidak lengkap, tidak dikemas kini serta tidak seragam telah memberi kesan langsung kepada perancangan penyelenggaraan dan keputusan strategik kementerian.
Dalam masa yang sama, beliau berkata ketidakcekapan penggunaan peruntukan penyelenggaraan turut menyumbang kepada isu aset usang yang masih berulang walaupun peruntukan tahunan telah disediakan secara berterusan.
Sehubungan itu, KPT telah memperkukuh pembangunan sistem repositori digital aset bersepadu bagi memastikan semua maklumat aset dapat diurus secara lebih tepat, seragam serta berasaskan data masa nyata.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan pendekatan pengurusan aset secara kluster serta pengukuhan kompetensi pegawai bagi mengoptimumkan sumber tenaga kerja sedia ada di institusi pendidikan tinggi.
Justeru, pelaksanaan Pelan Strategik Pengurusan Aset itu nanti dijangka bakal meningkatkan kecekapan tadbir urus aset, mengurangkan pembaziran peruntukan penyelenggaraan serta memperkukuh integriti pengurusan aset sektor pendidikan tinggi negara.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan KPT merangkap Pengerusi Sekretariat Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Pengurusan Aset, Izamael Zamzuri Ismail; pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi serta wakil-wakil jabatan dan agensi di bawah kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 27
