KPT Angkat SUKIPT 2026 Sebagai Medan Pembangunan Atlet Bertaraf Dunia

19 Mei 2026 | Kuala Lumpur
Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bakal menjadi platform strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan generasi mahasiswa berjiwa juara yang mampu mencipta legasi besar kepada pembangunan sukan negara dan pendidikan tinggi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, tema “Mencipta Legasi Juara” dipilih bagi menzahirkan aspirasi KPT untuk menjadikan SUKIPT lebih daripada sekadar temasya sukan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Beliau berkata, SUKIPT edisi ketujuh yang akan berlangsung di Universiti Malaya (UM) dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 itu dijangka menghimpunkan lebih 6,000 atlet, 2,500 pegawai serta lebih 600 sukarelawan.
Menurut beliau, kejohanan dwi-tahunan itu akan mempertandingkan 30 jenis sukan melibatkan 251 pingat emas dengan penyertaan 65 kontinjen daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASCO) dan Majlis Sukan Institusi Swasta Malaysia (MASISWA).
Katanya, SUKIPT terus berperanan sebagai medan pembangunan bakat atlet IPT sebelum mereka melangkah ke kejohanan lebih besar termasuk Sukan Universiti ASEAN (ASEAN University Games - AUG), Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Beliau turut memaklumkan bahawa SUKIPT 2026 akan berlangsung lebih meriah menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti sampingan termasuk Sambutan Kemerdekaan ke-69, Karnival Keusahawanan Industri Sukan serta sesi perkongsian bersama legenda sukan negara.
Selain itu, katanya, KPT mengekalkan insentif kecemerlangan kepada atlet termasuk ganjaran RM3,000 kepada olahragawan dan olahragawati SUKIPT, RM7,000 kepada pasukan terbaik lelaki dan wanita serta RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
Beliau berkata, pencapaian cemerlang atlet IPT di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu membuktikan SUKIPT berjaya menjadi ekosistem pembangunan atlet berkualiti tinggi yang seimbang dalam akademik dan sukan.
Tambah beliau, kejayaan atlet IPT meraih pingat di World University Games 2025, Sukan SEA Bangkok dan Sukan Para ASEAN di Korat memperlihatkan keupayaan atlet IPT Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Osman; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
- Last updated on .
- Hits: 38
