Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu Perkasa Pemindahan Teknologi dan Kepakaran IPTA ke Arah Kemakmuran Komuniti

19 Mei 2026 | Hulu Terengganu, Terengganu
Penterjemahan hasil penyelidikan, sains dan teknologi universiti secara terus ke peringkat akar umbi menerusi prakarsa Program Pemindahan Ilmu dan Kepakaran (Knowledge and Skill Transfer Programme - KSTP) terus menjadi strategi utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu kemakmuran sosioekonomi masyarakat tempatan secara mampan dan inklusif.
Pendekatan turun padang yang digerakkan melalui prakarsa KSTP itu penting bagi memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan sahaja dihormati atas kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah berperanan sebagai rakan strategik komuniti dalam menyelesaikan isu masyarakat menerusi pemindahan ilmu, teknologi dan kepakaran secara langsung.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sewaktu meluncurkan Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong siang tadi.
Beliau menyifatkan siri kembara berkenaan sebagai wadah berimpak tinggi dalam membuktikan keupayaan menara gading mengemudikan pembangunan masyarakat secara inklusif menerusi pengupayaan komuniti berasaskan ilmu, inovasi dan teknologi.
Menurut beliau, pelaksanaan program berteraskan KSTP membolehkan kepakaran universiti diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian sebenar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk aspek ekonomi komuniti, pendidikan, kelestarian dan kesejahteraan sosial.
Manifestasi kebersamaan antara IPT dan komuniti itu dizahirkan secara konkrit menerusi penyerahan rasmi Projek Kampung Angkat MADANI Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Menerong yang disokong peruntukan berjumlah RM1 juta.
Peruntukan bersasar tersebut dimanfaatkan bagi menaik taraf kemudahan tumpuan awam komuniti desa termasuk kawasan rekreasi Lubuk Bayas, balai raya serta masjid demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk setempat.
Pengaplikasian inovasi universiti melalui pendekatan KSTP turut dibuktikan menerusi Projek Ternakan Kelulut komersial bertenaga solar yang berjaya membantu sebahagian peserta menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan sekali gus membuka ruang ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau dan keusahawanan komuniti.
Peluang ekonomi baharu juga terus diperkasa melalui Program Keusahawanan Cendawan Tiram yang menyediakan bimbingan sistematik kepada peserta bermula daripada fasa penanaman, pengurusan operasi sehingga aspek pemasaran produk hiliran bagi meningkatkan daya saing usahawan desa.
Dalam usaha melahirkan generasi muda yang kompeten mendepani cabaran masa hadapan, agenda pembangunan modal insan turut diperkukuh menerusi bimbingan 12 Sekolah Angkat STEM UMT di daerah ini bagi memperluas minat dan penguasaan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Di program yang sama, YB Menteri turut meninjau reruai pameran serta perkhidmatan oleh IPT awam serta agensi di bawah KPT yang telah menarik minat ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UMT , Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) , Dato' Rozi Mamat.
- Last updated on .
- Hits: 25
