Sembang Santai Doc Zam UiTM Terengganu, Bincang Perkasa Kearifan Tempatan, Kebajikan Mahasiswa dan Kebolehpasaran Graduan

19 Mei 2026 | Kuala Terengganu, Terengganu
Transformasi pendidikan tinggi negara perlu dilaksanakan secara holistik dengan menyeimbangkan pemeliharaan warisan ilmu tempatan, kebajikan mahasiswa, pembangunan infrastruktur kampus serta penjajaran kurikulum berteraskan keperluan masa hadapan.
Perkara tersebut menjadi intipati amanat Menteri Pendidikan Tinggi, sempena program Sembang Santai Doc Zam yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa ilmu warisan seperti seni pembuatan bot di Pulau Duyong dan tenunan songket Terengganu perlu terus dipelihara sebagai khazanah intelektual bangsa yang bernilai tinggi.
Menurut beliau, kearifan tempatan tidak wajar dilihat sebagai elemen lama sebaliknya perlu diperkasakan melalui integrasi teknologi moden bagi menjana nilai ekonomi baharu.
Sehubungan itu, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta disaran memperkukuh pendekatan rentas disiplin yang menggabungkan warisan budaya, teknologi, keusahawanan dan inovasi.
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan segera berjumlah RM1.5 juta bagi kerja baik pulih fasiliti akademik dan kemudahan sukan di tiga kampus UiTM di Terengganu.
Daripada jumlah tersebut, setiap Kampus Kuala Terengganu, Kampus Bukit Besi dan Kampus Dungun menerima RM500,000 masing-masing bagi memastikan keselesaan serta keselamatan warganya terus terjamin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluas pelaksanaan Program Sulung, Dapur Siswa dan Job on Campus bagi membantu mahasiswa khususnya daripada kumpulan B40.
Inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kos sara hidup serta memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa tekanan kewangan yang berlebihan.
Dalam aspek kebolehpasaran graduan, beliau menegaskan keperluan penjajaran semula kurikulum dengan keperluan industri semasa termasuk penguasaan kecerdasan buatan dan kemahiran digital masa hadapan.
Program itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Azlinda Azman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi; serta pegawai kanan Kementerian dan Naib-naib Canselor IPTA.
- Last updated on .
- Hits: 26
