Malaysia Tuan Rumah Mesyuarat JC-ESTC Ke-4, Perkukuh Hubungan Dua Hala Strategik Bersama Rusia

Malaysia Tuan Rumah Mesyuarat JC-ESTC Ke-4, Perkukuh Hubungan Dua Hala Strategik Bersama Rusia

Kerjasama strategik pelbagai sektor, khususnya dalam pendidikan tinggi, sains dan teknologi, antara Malaysia dan Persekutuan Rusia telah diperkukuh melalui penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC-ESTC) semalam dan siang tadi.

Bagi edisi kali ini, JC-ESTC telah dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Mesyuarat pagi tadi telah dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov.

Salah satu hasil utama dalam sektor pendidikan merupakan komitmen Rusia untuk menyediakan 40 kuota biasiswa tahunan bagi pelajar Malaysia.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyatakan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan bersedia bekerjasama dengan universiti Rusia dalam bidang termaju seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), dan sains data.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang baharu seperti nanoteknologi, "Bandar Pintar", dan teknologi hijau.

Buat julung-julung kalinya, mesyuarat JC-ESTC kali ini telah diperluas dengan penganjuran tiga (3) acara sampingan utama, termasuk Forum Pendidikan Tinggi Malaysia (MAHEF) 2025 : Rusia dan Persidangan Meja Bulat Sains.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempercepatkan usaha ke arah pemansuhan separa keperluan visa dan mengutamakan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Moscow.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menekankan bahawa fokus kini adalah untuk memastikan pelaksanaan efektif perjanjian sedia ada bagi menghasilkan keputusan yang bermakna, bukannya hanya tertumpu kepada pemeteraian memorandum baharu.

Mesyuarat telah dimuktamadkan dengan persetujuan "Minit Persetujuan" (Agreed Minutes) yang menggariskan hasil perbincangan, selain majlis pertukaran dokumen perjanjian oleh 34 buah IPT, agensi dan sektor swasta Malaysia dengan IPT dari Persekutuan Rusia.

Mesyuarat JC-ESTC seterusnya yang kelima telah dipersetujui untuk diadakan di Moscow pada tahun hadapan.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Konstantin Mogilevsky; serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 603
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim