Bidang AI, Kejuruteraan Jadi Fokus Utama MAHEF 2025 Malaysia-Rusia

Bidang AI, Kejuruteraan Jadi Fokus Utama MAHEF 2025 Malaysia-Rusia

Komitmen untuk merapatkan sistem dan membina masa depan kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Persekutuan Rusia dizahirkan melalui penganjuran kali pertama Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia 2025 (MAHEF2025).

Forum tersebut diadakan bersempena dengan Mesyuarat Keempat Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC-ESTC) semalam.

Platform strategik tersebut telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) siang tadi, dipengerusikan bersama oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan rakan sejawatannya dari Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov.

Penganjuran MAHEF2025 menyediakan platform penting untuk mengukuhkan kerjasama akademik dan saintifik, terutamanya dalam bidang berimpak tinggi.

Sesi perbincangan panel telah memfokuskan kepada bidang strategik termasuk Kepintaran Buatan (AI), Kejuruteraan Perubatan, Bioteknologi, dan Kejuruteraan.

Forum tersebut berjaya mengumpulkan pakar terkemuka, penggubal dasar, dan perwakilan dari 47 institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Bagi menterjemahkan hubungan mesra kedua-dua negara, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah membawa delegasi dari Moscow melawat keindahan alam semula jadi di Taman Geoforest Kilim.

Lawatan tersebut bertujuan untuk mempamerkan keunikan biodiversiti dan usaha pengurusan geopark yang mampan di Malaysia.

Delegasi turut diraikan dalam satu jamuan yang menyajikan hidangan warisan tradisional Melayu dan pelbagai buah-buahan tempatan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Konstantin Mogilevsky; dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 634
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim