Mesyuarat Kali Ke-4 JC-ESTC Labuh Tirai, Jumpa Lagi Di Moscow Tahun Depan

Mesyuarat Kali Ke-4 JC-ESTC Labuh Tirai, Jumpa Lagi Di Moscow Tahun Depan

“Durian ini sebenarnya menguji keberanian anda,” seloroh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, merujuk kepada pengalaman Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valerie Falkov dan delegasinya yang mencuba raja buah itu petang semalam.

Dalam suasana santai dan penuh mesra, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah menghoskan majlis resepsi para delegasi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknologikal, dan Budaya (JC-ESTC) ke-4 di sini semalam.

Tambah beliau lagi, usikan dan senda gurau adalah tanda kemesraan masyarakat Malaysia yang mengalu-alukan dengan senang hati rakan karib mereka.

Ia sekali gus turut mencerminkan keakraban yang terbina sepanjang dua (2) hari interaksi rasmi delegasi Malaysia dan Persekutuan Rusia pada sidang JC-ESTC kali ini.

Majlis resepsi semalam diadakan sebagai penutup tirai kepada sesi rundingan yang merangkumi agenda pendidikan tinggi, saintifik, teknologi dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa kerjasama pendidikan tidak hanya dipacu melalui dokumen dan perjanjian, sebaliknya turut bertunjangkan pemahaman budaya serta hubungan interpersonal yang kukuh.

YB Menteri menjelaskan bahawa hubungan yang terjalin melalui interaksi antara pelajar, penyelidik dan komuniti akademik berperanan memperluas jaringan ilmu antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

Beliau turut menekankan bahawa suasana santai seperti resepsi ini membolehkan delegasi kedua-dua negara berkongsi pandangan dengan lebih terbuka dan berkesan di luar protokol rasmi.

Justeru, Malaysia melihat hubungan itu sebagai peluang memperkukuh kerjasama penyelidikan, memperluas mobiliti akademik dan memantapkan pembangunan bakat dalam bidang pendidikan tinggi.

TYT Valerie Falkov mewakili delegasinya turut menyampaikan penghargaan terhadap hospitaliti Malaysia serta pengalaman budaya yang unik sepanjang berada di Langkawi.

Malaysia menantikan kesinambungan kerjasama tersebut dalam penganjuran seterusnya di Moscow tahun hadapan dengan harapan agenda baharu dapat diterokai bersama. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 663
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim