Menteri Pendidikan Tinggi Sempurna Peletakan Batu Asas Politeknik Kota Belud, Perkukuh Ekosistem TVET Di Sabah

Menteri Pendidikan Tinggi Sempurna Peletakan Batu Asas Politeknik Kota Belud, Perkukuh Ekosistem TVET Di Sabah

Majlis Peletakan Batu Asas Politeknik Kota Belud (PKBS), Sabah hari ini menandakan iltizam tinggi Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meluaskan akses TVET dan memperkasa pembangunan modal insan di Sabah. Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

PKBS, yang dijangka mula beroperasi menjelang Sesi I 2030/2031, direncanakan sebagai Hab TVET Digital dan Lestari Wilayah Sabah Barat dengan tumpuan kepada program bernilai tinggi (High Growth, High Value - HGHV). Program PKBS akan difokuskan kepada tiga bidang iaitu Teknologi Maklumat (Teras Kecerdasan Buatan - AI), Tenaga Boleh Baharu (RE) dan Teknologi Pertanian Pintar

Menurut beliau, pembinaan PKBS ini merupakan agenda strategik yang bertujuan melahirkan graduan mahir yang selari dengan NIMP 2030 dan NETR, memacu transformasi ekonomi di Sabah.

YB Menteri turut menegaskan komitmen KPT yang bersifat holistik terhadap keseluruhan institusi pendidikan tinggi di Sabah telah direncanakan melalui beberapa inisiatif.

Pelaburan Strategik IPTA Sabah: Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 1 Tahun 2026, Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan strategik yang signifikan bagi keseluruhan 21 projek dengan peruntukan sebanyak RM1.014 billion yang bertujuan merencanakan projek baharu dan memperkasa projek sedia ada di semua IPTA Sabah (UMS, UiTM, dan POLYCC).

Kompleks Politeknik Tawau Baharu: KPT juga komited untuk merancang pembangunan kompleks baharu yang moden bagi Politeknik Tawau Sabah (PTS). Tapak cadangan telah dikenal pasti, dan permohonan akan diangkat sebagai keutamaan dalam fasa pembangunan akan datang, menjadikan Tawau sebagai Hab TVET utama di wilayah Pantai Timur.

Dana Penyelenggaraan Fasiliti Usang: Bagi memastikan kualiti prasarana PdP yang kondusif, Kerajaan turut meluluskan bajet penyelenggaraan fasiliti usang di bawah RMK-13 berjumlah RM250 juta untuk tempoh lima (5) tahun, memastikan setiap institusi dilengkapi infrastruktur berkualiti dan supaya usaha naik taraf dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, KPT optimis penubuhan PKBS adalah pemangkin keterangkuman pendidikan tinggi, memastikan masyarakat luar bandar dan komuniti di Utara Sabah tidak tercicir daripada gelombang transformasi TVET. Inisiatif pembangunan ini akan melahirkan modal insan TVET berimpak tinggi dan memperkasa agenda Malaysia MADANI.

Turut hadir di majlis tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta; Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Dr. Fary Akmal Osman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 698
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim