Malaysia Perkukuh Kerjasama Pengantarabangsaan Bidang Pendidikan Tinggi Bersama Iran Dan Poland

Malaysia Perkukuh Kerjasama Pengantarabangsaan Bidang Pendidikan Tinggi Bersama Iran Dan Poland

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada hari ini telah menerima kunjungan daripada Duta Besar Republik Iran ke Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan Duta Besar Poland ke Malaysia, TYT Krzysztof Dariusz Dobrowolski. Agenda utama pertemuan ini adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan antara perkara yang dibincangkan adalah:

1) Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi

YB Menteri amat berbesar hati dengan hasrat Iran dan Poland untuk menghantar lebih ramai pelajarnya melanjutkan pengajian di Malaysia dan mencadangkan agar dapat dibangunkan peta laluan (route map) dalam mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh diberi tumpuan antara Malaysia dan Iran serta Poland; contohnya melalui program pertukaran pelajar dan akademik, selaras dengan usaha mengantarabangsakan pendidikan tinggi di Malaysia.

2) Memorandum Persefahaman (MoU)

YB Menteri turut menyambut baik cadangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Iran dan Poland bagi memperkukuhkan dan merealisasi cadangan-cadangan berkaitan menjayakan pendidikan tinggi.

Turut hadir di pihak KPT semasa kunjungan kedua-dua Duta Besar tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Supian; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar.

Turut hadir juga ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Azlinda Azman semasa kunjungan Duta Besar Iran dan Setiausaha Bahagian Eropah, Kementerian Luar Negeri, Encik Abu Bakar Mamat semasa kunjungan Duta Besar Poland. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1391
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim