Malaysia–Perancis Meterai MoU Pendidikan Tinggi, Perkukuh Kerjasama Dua Hala

Malaysia–Perancis Meterai MoU Pendidikan Tinggi, Perkukuh Kerjasama Dua Hala

16 November 2026 | Putrajaya

Malaysia dan Perancis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi hari ini, sekali gus mewujudkan kerangka kerjasama rasmi pertama antara Kerajaan kedua-dua negara dalam sektor berkenaan.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyaksikan Kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, manakala Kerajaan Republik Perancis diwakili oleh Duta Besarnya ke Malaysia, TYT Marc Abensour.

MoU tersebut merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk mobiliti pelajar, ahli akademik dan penyelidik, pemindahan kredit, teknologi pendidikan, pendidikan keusahawanan serta pengembangan bahasa dan budaya.

Pemeteraian ini turut memperluas jaringan kerjasama akademik sedia ada yang kini melibatkan 71 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara sembilan universiti awam Malaysia dengan institusi pendidikan tinggi di Perancis.

Sebagai langkah susulan, KPT bersama Kedutaan Perancis akan mempergiat pelaksanaan program Hubert Curien Partnership France–Malaysia Hibiscus (PHC Hibiscus) yang menjadi platform kerjasama penyelidikan antara kedua-dua negara bagi menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi serta memastikan kelestarian hubungan penyelidikan sedia ada.

Kerjasama ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dalam memperluas pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan melahirkan bakat yang berdaya saing di peringkat global.

Pemeteraian MoU ini turut mencerminkan komitmen Malaysia dan Perancis untuk terus mempererat hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.

  • Last updated on .
  • Hits: 172
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 18 November 2026, 09:29:19.

logo-sirim