Putrajaya FOI 2026 Buka Tirai, Cetus Anjakan Malaysia Daripada Pengguna Kepada Pencipta Teknologi

17 November 2026 | Putrajaya
Festival Idea Putrajaya (PUTRAJAYA FOI) 2026 membuka tirai penganjurannya hari ini dengan membawa gagasan besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pencipta dan pemilik teknologi, bukan sekadar pengguna inovasi yang dihasilkan negara lain, selaras dengan aspirasi membina masa depan yang berteraskan kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.
Gagasan itu menjadi inti pati ucapan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan festival berkenaan, dengan menegaskan bahawa Malaysia perlu melakukan anjakan keupayaan dalam menguasai teknologi kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, semikonduktor, keselamatan siber dan kriptologi bagi memastikan negara memiliki kepakaran, harta intelek serta teknologi yang dibangunkan anak tempatan.
Menurut beliau, Malaysia tidak seharusnya hanya menjadi pasaran kepada teknologi dunia, sebaliknya perlu melahirkan lebih banyak inovasi yang dicipta, direka bentuk dan dimiliki rakyat tempatan, selain membangunkan perusahaan yang berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam hubungan itu, beliau menekankan bahawa universiti, politeknik, kolej komuniti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu membentuk ekosistem pembangunan bakat yang saling melengkapi dengan industri, khususnya dalam menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan sektor teknologi baharu.
Keperluan tersebut turut disokong pencapaian TVET pada 2025 apabila 56.86 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf memilih laluan pendidikan itu, manakala kadar kebolehpasaran graduannya mencapai 95.9 peratus, sekali gus menunjukkan potensi pendidikan berasaskan kemahiran dalam memenuhi permintaan tenaga kerja negara.
Sehubungan itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berharap peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Belanjawan 2027 dapat dimanfaatkan untuk memperluas pembangunan bakat, menyediakan peluang pendidikan yang lebih menyeluruh serta melahirkan kepakaran tempatan dalam bidang teknologi strategik.
Beliau turut menggariskan tiga (3) keutamaan tindakan susulan PUTRAJAYA FOI 2026, iaitu menyediakan laluan yang jelas bagi menterjemahkan idea kepada prototaip, paten dan aplikasi industri atau dasar; menyatukan kepakaran universiti, industri dan Kerajaan untuk menangani cabaran negara; serta membuka peluang kepada inovasi tempatan menjalani pengujian bersama industri dan pembiaya sebelum diperluas penggunaannya.
Menurutnya, penyelidikan tidak seharusnya terhenti pada penerbitan akademik atau tesis semata-mata, sebaliknya perlu menghasilkan impak nyata melalui peningkatan produktiviti, penambahbaikan dasar dan penyelesaian kepada permasalahan rakyat, termasuk dalam aspek keterjaminan makanan dan pengurusan banjir.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya berkata, PUTRAJAYA FOI 2026 yang berlangsung tiga (3) hari sehingga 19 November itu turut memberi penekanan kepada usaha menterjemahkan gagasan yang dicetuskan sepanjang festival kepada tindakan konkrit menerusi penyediaan Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama untuk dikemukakan kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, edisi ketiga festival bertemakan “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” itu menampilkan lebih 17 pengisian utama merentasi tujuh (7) zon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), termasuk 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh, panelis dan pembentang serta penyertaan delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan.
Selain perbincangan dan wacana intelektual, PUTRAJAYA FOI 2026 turut menyediakan ruang penglibatan masyarakat menerusi pelbagai pameran penyelidikan, inovasi industri dan demonstrasi teknologi, selain inisiatif IPT@Komuniti yang menghimpunkan 20 universiti awam dan lapan (8) Hospital Pengajar Universiti bagi menyediakan 12 perkhidmatan kesihatan percuma kepada pengunjung, di samping Karnival Mini Jom Masuk Universiti dan Karnival Kerjaya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 223
