Memperkukuh Tadbir Urus dan Ekosistem Transformasi Digital Pendidikan Tinggi Negara

Memperkukuh Tadbir Urus dan Ekosistem Transformasi Digital Pendidikan Tinggi Negara

13 November 2026 | Putrajaya

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan telah mempengerusikan Mesyuarat CDO KPT Bilangan 2 Tahun 2026 di KPT hari ini.

Mesyuarat ini menjadi platform strategik bagi menyelaras hala tuju transformasi digital pendidikan tinggi serta memperkukuh tadbir urus dan kerjasama bersepadu antara KPT, Jabatan, Agensi dan Universiti Awam (UA).

Antara fokus utama mesyuarat adalah pembangunan AI Education Hub bagi memacu ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang menyeluruh dalam sektor pendidikan.

Inisiatif ini bakal memperkukuh keupayaan institusi pendidikan tinggi melalui penyediaan ekosistem yang menyokong kepakaran, penyelidikan, perkongsian ilmu dan penghasilan inovasi demi manfaat negara.

Mesyuarat turut memperincikan cadangan penubuhan Jawatankuasa Transformasi Digital Pendidikan Tinggi Malaysia sebagai platform penyelarasan nasional.

Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif digital pendidikan tinggi dapat digerakkan secara lebih terselaras serta berkesan.

Selain itu, perhatian turut diberikan terhadap pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Blockchain Negara 2026–2030, di mana institusi pendidikan tinggi berpotensi menyumbang kepakaran dalam penyelidikan, pembangunan teknologi, pengurusan rekod digital, pengesahan kelayakan akademik serta integriti data.

KPT komited memperkasa penggunaan teknologi baharu khususnya AI bagi membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inovatif, inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh barisan CDO UA, Jabatan dan Agensi serta pegawai-pegawai kanan KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 90
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 November 2026, 01:20:07.

logo-sirim