Malaysia Pacu Kerjasama EU–ASEAN Dalam Pendidikan Tinggi Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Malaysia Pacu Kerjasama EU–ASEAN Dalam Pendidikan Tinggi Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Malaysia terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Dialog Polisi EU–ASEAN Mengenai Pendidikan Tinggi kali ke-3, sebuah platform penting yang menghimpunkan menteri-menteri, pembuat dasar, ahli akademik dan pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi dari Eropah dan ASEAN.

Program ini diadakan bersempena dengan Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025, dan dilaksanakan melalui program Sustainable Connectivity Package – Higher Education (SCOPE-HE) di bawah strategi Global Gateway Kesatuan Eropah (EU) dan dianjurkan secara bersama oleh EU, ASEAN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam ucaptamanya, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan komitmen Malaysia untuk memacu kerjasama serantau dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi ASEAN.

“Malaysia sentiasa komited memperkasa pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan bakat ASEAN. Kita mahu setiap usaha kerjasama bukan sekadar slogan, tetapi menjadi peluang nyata yang membentuk masa depan generasi serantau,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa pengantarabangsaan pendidikan tinggi merupakan agenda strategik negara, yang bukan sahaja memperkukuh daya saing global institusi pendidikan tinggi Malaysia, malah membuka ruang kepada pembangunan kemahiran dan bakat pelajar di peringkat serantau.

Sementara itu, Duta EU ke ASEAN, TYT Sujiro Seam, memuji peranan aktif Malaysia dan KPT dalam memperkukuh hubungan dua hala antara EU dan ASEAN.

“EU mengulangi komitmennya untuk mengekalkan kerjasama kukuh dengan ASEAN dalam bidang pendidikan tinggi. Melalui program seperti SCOPE-HE, Erasmus+ dan Horizon Europe, kami terus menyokong pembangunan pendidikan tinggi di seluruh rantau ASEAN,” katanya.

PELUANG DAN MANFAAT MELALUI INISIATIF EU-ASEAN

Sejak tahun 2014, lebih 15,000 pelajar dan ahli akademik ASEAN telah mendapat manfaat daripada program Erasmus+ yang dibiayai oleh EU. Dalam masa yang sama, lebih 7,500 pelajar dan akademia dari Eropah turut menjalani pertukaran akademik di ASEAN.

Antara tahun 2021 hingga 2024, EU turut menganugerahkan 90 geran penyelidikan dan inovasi di bawah program Horizon Europe, yang menyokong 109 institusi di seluruh ASEAN dengan jumlah sumbangan bernilai €10.6 juta (sekitar RM51 juta).

Malah, dengan peranan penting KPT sebagai penyelaras utama, negara berazam menjadikan pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin kepada keterhubungan, kemampanan dan daya saing ASEAN di peringkat global.

Melalui penganjuran dialog ini, KPT memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara utama (enabler) dalam memperluas jaringan akademik, mempertingkat mobiliti pelajar dan tenaga pengajar, serta memperkukuh kapasiti penyelidikan serantau.

Penganjuran Dialog Polisi EU–ASEAN Mengenai Pendidikan Tinggi kali ke-3 ini turut melambangkan iltizam bersama ke arah membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, inovatif dan berimpak tinggi.

Melalui kepimpinan Malaysia dan sokongan berterusan EU, kerjasama ini akan terus menjadi pemacu kepada perkongsian ilmu, pembangunan bakat, serta kemajuan ekonomi dan sosial ASEAN menjelang 2025 dan seterusnya. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 254
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim