Bahasa Melayu Jiwa Bangsa, Asas Tamadun Ilmu

Bahasa Melayu Jiwa Bangsa, Asas Tamadun Ilmu

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penganjuran Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu (AABM) 2025 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Za’ba, KPT pada pagi ini.

“Bahasa itu jiwa bangsa. Hilang bahasanya, hilanglah bangsa itu.” Demikian penegasan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmian AABM, satu pentas penghargaan tertinggi buat warga akademia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, budaya dan tamadun bangsa.

Menurut YB Menteri, AABM bukan sekadar acara tahunan tetapi manifestasi komitmen berterusan KPT untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perpaduan dan kemajuan seiring aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan ilmu dan nilai sebagai tunjang pembangunan insan.

Pada tahun ini, Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu disandang oleh Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin, seorang pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas sumbangan luar biasa dan kepakaran beliau dalam bidang Sintaksis, Morfologi, Semantik, Wacana dan Linguistik Korpus.

Manakala bagi dua (2) kategori lain iaitu Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu dimenangi oleh Ts. Nor Mahani Md Rasidi dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Ketiga-tiga kategori ini membawa hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 bagi penerima utama, RM5,000 bagi penerima kategori Harapan dan Sektor Teknikal, piala iringan serta sijil sebagai manifestasi komitmen KPT terhadap pengiktirafan ilmuwan yang menjunjung bahasa kebangsaan sebagai nadi pemikiran bangsa.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Sayembara Deklamasi Sajak dan Sayembara Penulisan Cerpen sempena Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat KPT serta sesi forum ilmiah sebagai wadah perkongsian pandangan tentang isu-isu semasa dalam memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi asas ketamadunan bangsa Malaysia.

Dalam ucapan penutup, YB Menteri menyatakan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar warisan, ia adalah nadi ilmu, budaya dan maruah bangsa. Setiap ahli akademik harus menjadi benteng terakhir budaya ilmu dan keperibadian bangsa serta pemangkin yang menghidupkan Bahasa kebangsaan di menara gading dan pentas antarabangsa.

Dengan tema “Bahasa Merentas Zaman: Inovasi Dalam Ilmu dan Budaya,” AABM 2025 mencerminkan aspirasi KPT untuk memastikan bahasa Melayu terus hidup dalam inovasi, disegani dalam ilmu, dan dihormati dalam budaya menjadikannya bahasa yang melangkaui sempadan zaman dan teknologi.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azwan Hassan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 249
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim