iFUTURE 2025: Manifestasi KPT Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan
Usaha melahirkan generasi pemimpin yang berlandaskan nilai-nilai murni dan berjiwa besar adalah teras utama dalam agenda pembangunan modal insan di bawah Kerajaan MADANI.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertanggungjawab menyediakan sebuah ekosistem yang menggalakkan mahasiswa untuk meneroka potensi kepimpinan mereka secara maksimum.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan (iFUTURE) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Menurut beliau, dunia memerlukan barisan pemimpin baharu yang memiliki belas kasihan dan sifat kemanusiaan bagi mengelakkan konflik dan memacu kemajuan bersama.
Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut mengingatkan kesemua 1000 orang mahasiswa dari 50 negara yang hadir bahawa kepimpinan bukan hanya terhad dalam bidang politik, tetapi merangkumi tanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa dewan ini dipenuhi oleh bakal perdana menteri, CEO, dan pemimpin masyarakat masa depan yang akan membawa perubahan positif kepada negara masing-masing.
Sidang kemuncak selama tiga (3) hari itu telah memberi peluang kepada para peserta untuk berdialog secara langsung dengan barisan pemimpin negara, tokoh industri, dan pemikir terkemuka.
Penganjuran program ini adalah manifestasi keseriusan KPT dalam memastikan graduan tempatan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga matang dalam pemikiran dan kepimpinan.
Terdahulu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menerima penyerahan Deklarasi iFUTURE 2025 daripada wakil pemimpin mahasiswa yang hadir, sebagai simbol resolusi dan komitmen generasi muda terhadap masa hadapan.
iFUTURE 2025 merupakan siri kedua penganjuran di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 195