iFUTURE 2025: Gerakan Kesukarelawanan Pacu Mahasiswa Jadi Peneraju Perubahan
Usaha pembinaan negara bangsa yang mampan memerlukan penggemblengan tenaga dan idealisme golongan belia melalui platform kesukarelawanan yang strategik dan berstruktur.
Menyahut seruan ini, sebuah forum penting bertajuk Kesukarelawanan dan Pembinaan Negara telah menjadi sebahagian daripada pengisian utama Sidang Kemuncak Pemimpin Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2025) di sini semalam.
Sesi perbincangan telah dikendalikan sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang bertindak sebagai moderator.
YB Timbalan Menteri telah mencetuskan perbualan yang dinamik bersama dua ahli panel jemputan yang mempunyai latar belakang cemerlang dalam kepimpinan dan aktivisme belia.
Kedua-dua ahli panel tersebut adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa, Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, dan Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan Shankar.
Matlamat utama forum adalah untuk meneroka cara praktikal bagi mahasiswa menggerakkan rakan sebaya di peringkat universiti dan komuniti untuk terlibat dalam inisiatif sosial dan alam sekitar.
Perbincangan turut menyentuh strategi "Institusionalisasi" bagi memastikan inisiatif kesukarelawanan dapat bertahan melangkaui satu semester pengajian dan memberikan impak berterusan.
Komitmen KPT dalam menganjurkan program seumpama ini adalah untuk memastikan mahasiswa dilengkapi dengan kemahiran dan kesedaran untuk menjadi peneraju perubahan dalam masyarakat.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 169