Malaysia-Australia Teroka Inisiatif Baharu Dalam Pendidikan Tinggi Antarabangsa

Malaysia-Australia Teroka Inisiatif Baharu Dalam Pendidikan Tinggi Antarabangsa

4 Ogos 2026 | Putrajaya

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Assistant Minister for International Education dan Assistant Minister for Citizenship, Customs and Multicultural Affairs, Australia, TYT Julian Hill MP.

Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Australia, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta pengukuhan kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Australia selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai inisiatif dan polisi kedua-dua negara dalam pengurusan pelajar antarabangsa serta perkembangan Transnational Education (TNE) dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi global dan memperluas jaringan kerjasama antara institusi kedua-dua negara.

Selain itu, cadangan untuk mengadakan Mesyuarat Kerja Bersama turut dinyatakan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada tahun 2024 bagi membincangkan hala tuju kerjasama, merangka program serta inisiatif baharu yang boleh dilaksanakan.

Kerjasama erat antara Malaysia dan Australia ini akan terus membuka peluang kepada pelajar kedua-dua negara untuk memperoleh pengalaman pembelajaran bertaraf global, di samping memperkukuh jaringan serta kolaborasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di peringkat antarabangsa.

Hadir sama dalam sesi ini ialah Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Encik Novie Tajuddin, Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar, Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Dr. Faiezi Zuber serta wakil daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

  • Last updated on .
  • Hits: 43
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 05 Ogos 2026, 10:10:10.

logo-sirim