Politeknik Kota Belud Penuhi Keperluan Tenaga Mahir Berteknologi Tinggi di Sabah

Politeknik Kota Belud Penuhi Keperluan Tenaga Mahir Berteknologi Tinggi di Sabah

6 Ogos 2026 | Kota Belud, Sabah

Politeknik Kota Belud yang akan dibangunkan menerusi Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bakal menjadi pemangkin penyediaan tenaga mahir berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri di Sabah melalui penawaran program berorientasikan teknologi masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata projek bernilai kira-kira RM250 juta itu merupakan kesinambungan perancangan yang dimulakan sejak 2017 dan kini memasuki fasa pelaksanaan selepas proses pengambilan tanah selesai.

Menurut beliau, kerja-kerja penyediaan reka bentuk, perancangan terperinci dan pembangunan akan dimulakan menerusi RP3 RMK13 dengan sasaran Politeknik Kota Belud mula beroperasi pada 2030.

Beliau berkata politeknik yang akan dibina di Kampung Kesapang itu akan memulakan pengambilan seramai 500 pelajar dengan menawarkan program Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Elektrik (Tenaga Hijau) dan Diploma Teknologi Pertanian Pintar yang disusun mengikut keperluan pasaran pekerjaan.

Tambah beliau, penawaran program tersebut turut memberi penekanan kepada penguasaan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi baharu bagi melahirkan graduan yang memiliki kemahiran selaras dengan perkembangan industri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Dalam pada itu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata peningkatan ketara permohonan kemasukan ke politeknik membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin diyakini sebagai laluan pendidikan yang menawarkan prospek kerjaya yang baik.

Beliau berkata hampir 98 peratus graduan politeknik berjaya memperoleh pekerjaan, sekali gus membuktikan institusi berkenaan memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri negara.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Pampasan Pengambilan Tanah kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat sebagai tanda penghargaan kerajaan, sekali gus menandakan projek pembangunan Politeknik Kota Belud kini memasuki fasa pelaksanaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta semua pihak yang memberikan kerjasama dalam merealisasikan projek tersebut agar manfaatnya dapat dinikmati masyarakat, khususnya di Pantai Barat Sabah.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah, Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Sabah, Fazlina Abdul Rani, serta Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

  • Last updated on .
  • Hits: 44
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 06 Ogos 2026, 10:40:51.

logo-sirim