KPT Mahu Lahirkan Generasi Berilmu, Berakhlak dan Profesional Hadapi Cabaran Masa Depan

KPT Mahu Lahirkan Generasi Berilmu, Berakhlak dan Profesional Hadapi Cabaran Masa Depan

3 Ogos 2026 | Putrajaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu melahirkan generasi masa depan yang menguasai ilmu secara menyeluruh dengan menggabungkan kecemerlangan akademik, akhlak dan profesionalisme bagi mendepani perubahan dunia yang semakin dipacu teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pemisahan antara bidang agama dan bidang profesional tidak lagi relevan kerana kedua-duanya perlu bergerak seiring bagi melahirkan modal insan yang mampu memimpin negara pada masa hadapan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

"Apabila kita bercakap dalam dunia AI pada hari ini, dia tidak boleh terpisah lagi daripada sudut agamanya, tak boleh terpisah dari segi moralnya. Jalan penyelesaiannya ialah mesti ada perimbangan di antara moral, agamanya dan dengan bidang-bidang yang kita terokai," katanya.

Beliau berkata proses menuntut ilmu bukan sekadar memperoleh kelulusan akademik, sebaliknya perlu disertai pembentukan sahsiah dan adab kerana ilmu tanpa akhlak tidak mampu melahirkan insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Menurutnya, setiap pelajar perlu memanfaatkan peluang menimba ilmu di luar negara dengan membina disiplin diri, memperluas pengalaman dan menguasai bidang masing-masing kerana kejayaan akhirnya bergantung kepada usaha sendiri.

"Belajarlah bersungguh-sungguh. Carilah ilmu setinggi mungkin kerana inilah masa yang terbaik... untuk menggarap ilmu sedalam-dalamnya," katanya.

Beliau berkata setiap pelajar merupakan aset penting negara yang bakal menentukan keupayaan Malaysia bersaing di peringkat global, justeru semua bidang kepakaran perlu digabungkan bagi membina sebuah negara yang maju.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI 2026 yang menghimpunkan 456 pelajar Malaysia tajaan dan persendirian yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya ke Mesir, Jordan dan Maghribi.

Program anjuran KPT dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia itu bertujuan memupuk kefahaman kenegaraan, semangat patriotisme dan penghayatan nilai Malaysia MADANI sebagai persediaan sebelum peserta memulakan pengajian di luar negara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman.

  • Last updated on .
  • Hits: 101
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 05 Ogos 2026, 10:10:10.

logo-sirim