KSU KPT Tinjau Pendaftaran Pelajar Baharu Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin

22 Jun 2026 | Arau, Perlis
Seiring dengan iltizam untuk menyediakan akses pendidikan tinggi yang menyeluruh, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, meneruskan siri lawatan kerjanya dengan meninjau kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis.
Suasana pendaftaran pada hari ini merekodkan perjalanan yang amat lancar. Di sinilah bermulanya fasa baharu buat ratusan pelajar yang datang dari seluruh pelosok negara bagi merebut peluang menyambung pengajian. Pada pengambilan kali ini di PTSS, para pelajar berpeluang menimba ilmu menerusi 15 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Asasi, Sijil, dan Diploma.
Dalam merancakkan akses pendidikan tinggi, aspek kebajikan dan keselesaan mahasiswa sentiasa menjadi teras utama KPT. Sejak mula beroperasi pada tahun 2004, PTSS terus komited menyediakan fasiliti terbaik dan kini mampu menampung kapasiti penginapan seramai 3,600 orang pelajar. Sebagai manifestasi keprihatinan institusi, keutamaan penempatan asrama diberikan khusus kepada pelajar yang baharu mendaftar, mahasiswa daripada keluarga B40, golongan berkeperluan, serta para pelajar yang merantau jauh dari Sabah dan Sarawak.
KPT amat menyedari bahawa ekosistem pembelajaran yang kondusif bermula dengan tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, bagi menangani isu kepadatan dan ketidakcukupan penginapan pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menggerakkan pelbagai inisiatif proaktif. Ini termasuklah meneroka jalinan kerjasama strategik bersama agensi-agensi Kerajaan dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain bagi memaksimumkan penggunaan kemudahan kuarters atau asrama yang tidak dihuni.
Usaha dan intervensi berterusan ini adalah cerminan komitmen teguh JPPKK dalam memastikan kebajikan setiap pelajar yang mendaftar terus terpelihara. Keselesaan ini diharap dapat memberi ketenangan minda kepada para pelajar agar mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian.
Sesi tinjauan mesra ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pengarah PTSS, Ts. Khairul Anuar bin Ishak.
- Last updated on .
- Hits: 197
