KPT dan Kerajaan Negeri Perlis Perkukuh Kerjasama Strategik, Perkasa Ekosistem Pendidikan Tinggi

22 Jun 2026 | Kangar, Perlis
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memperkukuh jalinan sinergi bersama Kerajaan-Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan serta pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi negara secara menyeluruh.
Komitmen ini dizahirkan melalui kunjungan hormat Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Noor Azman bin Abdul Rahman di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.
Pertemuan bermakna ini menumpukan kepada agenda utama, khususnya perbincangan strategik bagi menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif menerusi penambahbaikan kemudahan penginapan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Sebagai bukti keberkesanan kerjasama erat yang terjalin, inisiatif penyewaan unit Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh UniMAP daripada pihak Kerajaan Negeri telah berjaya direalisasikan. Langkah proaktif ini amat signifikan kerana ia berupaya menampung keperluan penginapan bagi 2,400 orang pelajar pada satu-satu masa.
Bagi melancarkan pengurusan hartanah dan prasarana pendidikan di negeri ini, perbincangan turut menyentuh urusan pelarasan kadar cukai tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi hak milik UniMAP oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perlis.
Menelusuri aspek kebajikan mahasiswa, YBhg. Datuk Aminuddin turut menegaskan keprihatinan KPT terhadap keperluan menaik taraf kemudahan asas, termasuklah isu penambahbaikan bekalan air dan penyelenggaraan bangunan usang. Hubungan dua hala yang mapan antara KPT dan Kerajaan Negeri ini amatlah penting bagi merancakkan lagi penyelarasan serta pemantauan fasiliti, demi menyediakan persekitaran yang selamat buat para pelajar.
Sesi lawatan rasmi ini turut disertai oleh delegasi KPT yang terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan; Naib Canselor UniMAP, YBhg. Dato' Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Encik Izamael Zamzuri bin Ismail; Ketua Komunikasi Korporat, Encik Mohamad Hafizi bin Rosli; dan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Dr. Fary Akmal binti Osman.
Turut menyantuni delegasi adalah wakil kepimpinan Kerajaan Negeri Perlis iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Encik Rusdi bin Yahya, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr. Noriman bin Rojulai.
- Last updated on .
- Hits: 224
