KSU KPT Tekankan Pembangunan Kepimpinan Pelapis Demi Kesinambungan Organisasi

12 Oktober 2026 | Putrajaya
Setiap pemimpin perlu memainkan peranan dalam melahirkan pemimpin pelapis dengan memberi kepercayaan, bimbingan dan ruang kepada pegawai untuk mengembangkan potensi kepimpinan masing-masing, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Beliau berkata, kepimpinan bukan sekadar bergantung kepada keupayaan individu, sebaliknya memerlukan usaha berterusan membina keupayaan pasukan supaya organisasi dapat berfungsi dengan baik dan berkesinambungan.
Menurut beliau, pemimpin tidak seharusnya berasa terancam apabila pegawai di bawah seliaan menunjukkan kebolehan, mengemukakan pandangan atau mengambil inisiatif dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
Sebaliknya, katanya, pegawai perlu diberi peluang untuk mencuba, menghadapi cabaran dan belajar daripada kegagalan sebagai sebahagian daripada proses membentuk kematangan serta keyakinan diri.
Beliau turut menegaskan bahawa kepercayaan terhadap pasukan dan lapisan kepimpinan seterusnya penting bagi memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan secara bersama tanpa bergantung kepada seorang individu sahaja.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pembangunan kepimpinan perlu disertai nilai integriti, etika, adab dan kredibiliti bagi membina rasa hormat yang berasaskan kepercayaan, bukan ketakutan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam Program Nasi Lemak Kopi O Bersama KSU Siri 2 anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPT melibatkan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 hingga 12 sebagai ruang perkongsian secara santai dengan warga Kementerian.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT, Dato’ Azhar Mohamad Yusof.
- Last updated on .
- Hits: 28
