iFUTURE 2026: Kepimpinan Belia Berteraskan Impian, Keberanian Dan Ilmu Jadi Asas Demokrasi Matang

iFUTURE 2026: Kepimpinan Belia Berteraskan Impian, Keberanian Dan Ilmu Jadi Asas Demokrasi Matang

12 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Kepimpinan belia yang berteraskan impian besar, keberanian dan penguasaan ilmu menjadi asas penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang mampu membentuk negara serta mendukung amalan demokrasi yang matang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul berkata pemimpin muda perlu memiliki hala tuju yang jelas, berani membuat keputusan berlandaskan kebenaran serta sentiasa menilai kelemahan diri bagi meningkatkan kualiti kepimpinan.

Beliau berkata ilmu pengetahuan turut menjadi keperluan utama kerana pemimpin perlu memahami masyarakat, persekitaran dan keperluan pihak lain sebelum membuat keputusan atau merangka pendekatan bagi menangani sesuatu isu.

Menurut beliau, kepimpinan yang berkesan juga menuntut kesediaan mendengar pandangan berbeza, berunding dan mencapai persetujuan kerana demokrasi bukan semata-mata tentang kemenangan atau kekalahan, sebaliknya memerlukan persefahaman dan tolak ansur.

“Demokrasi adalah tentang memahami dan membuat penyesuaian,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk 'Pemimpin Masa Hadapan, Pengukuhan Demokrasi dan Peranan Belia dalam Membentuk Negara' (Future Leader, Stronger Democracy, Empowering Youth)to Shape the Nation) sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Beliau berkata golongan muda perlu diberikan ruang dan tanggungjawab untuk menyuarakan pandangan kerana pengalaman serta keperluan mereka penting dalam menentukan bentuk demokrasi dan hala tuju negara pada masa hadapan.

Sebagai usaha memberikan pendedahan awal kepada amalan demokrasi, beliau berkata lebih 2,000 buah sekolah telah terlibat dalam program Sekolah Parlimen yang membolehkan pelajar mengenali fungsi Parlimen Malaysia serta menyaksikan proses perbahasan secara langsung di Dewan Rakyat.

Selain itu, inisiatif Parlimen Belia turut membuka peluang kepada golongan berusia 18 hingga 30 tahun untuk bertanding sebagai wakil belia dan mengambil bahagian dalam perbahasan, sekali gus memberikan pengalaman mengenai proses perwakilan serta tanggungjawab kepimpinan.

Dalam sesi soal jawab bersama peserta, beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan diploma atau ijazah sebagai satu-satunya ukuran kejayaan selepas tamat pengajian, sebaliknya memanfaatkan ilmu dan pengalaman di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk membina keupayaan mencipta peluang serta menyumbang kepada masyarakat.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

  • Last updated on .
  • Hits: 38
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 14 Oktober 2026, 10:53:34.

logo-sirim