iFUTURE 2026: Jaringan Mahasiswa Antarabangsa Bentuk Asas Diplomasi Rakyat

iFUTURE 2026: Jaringan Mahasiswa Antarabangsa Bentuk Asas Diplomasi Rakyat

13 Oktober 2026 | Shah Alam, Selangor

Jaringan antara pemimpin mahasiswa pelbagai negara berpotensi menjadi asas diplomasi rakyat yang membina persefahaman dan membuka ruang kerjasama antarabangsa pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata hubungan yang dibina melalui interaksi secara langsung mampu meninggalkan kesan berpanjangan walaupun selepas mahasiswa menamatkan pengajian dan kembali ke negara masing-masing.

Beliau berkata diplomasi rakyat atau hubungan antara rakyat (people-to-people diplomacy) melengkapi hubungan rasmi antara kerajaan dengan membolehkan masyarakat membina persefahaman melalui perkenalan, perkongsian pengalaman dan interaksi merentas negara.

Menurut beliau, jaringan yang dibina ketika ini di universiti juga berpotensi berkembang menjadi kerjasama dalam bidang perniagaan dan sektor lain apabila mahasiswa berkenaan memegang jawatan penting di negara masing-masing pada masa hadapan.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai bekas mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyaksikan rakan-rakan pengajian dari pelbagai negara kemudiannya memegang jawatan penting dalam kerajaan dan organisasi masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa memanfaatkan peluang pertemuan berkenaan untuk saling mengenali, termasuk membina hubungan sesama mahasiswa universiti awam yang mungkin belum pernah berinteraksi sebelum ini.

Beliau berkata perkenalan yang bermula melalui perbualan tidak formal boleh menjadi titik permulaan kepada persahabatan dan kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada individu serta negara masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jaringan iFUTURE 2026 di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU) semalam yang menghimpunkan 1,231 pemimpin mahasiswa dari 60 negara sempena edisi ketiga Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026.

Hadir sama ialah Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Dato’ Wira Prof. Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid; Naib Canselor MSU, Puan Sri Datuk Prof. Dr. Junainah Abd Hamid; dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.

Beliau merakamkan penghargaan kepada MSU selaku rakan strategik majlis atas kesediaan menjadi tuan rumah dan menjayakan sesi jaringan berkenaan, sambil berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan selepas program berakhir bagi membuka peluang kepada kerjasama yang memberi manfaat kepada negara masing-masing.

  • Last updated on .
  • Hits: 29
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 14 Oktober 2026, 10:53:34.

logo-sirim